KUALA LUMPUR – Penyerang kelahiran Brazil, Chrigor Moraes menjadi pilihan Selangor FC sebagai berbisa bagi menghadapi saingan musim 2025-2026.
Perkembangan itu diumumkan SFC menerusi laman sosial rasmi miliknya di mana pemain berusia 25 tahun itu menjadi pemain import kedua terbaru Gergasi Merah.
Moraes akan membantu Selangor bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejuaraan Kelab ASEAN.
Dia memulakan kerjaya profesionalnya bersama Brasil de Pelotas untuk dua perlawanan di Serie B pada 2018 sebelum kariernya terus berkembang bersama Red Bull Brasil.
Moraes kemudian diserap ke pasukan utama Red Bull Bragantino dan mencatat dua gol dalam sembilan penampilan di Serie A Brazil sebelum dipinjamkan ke beberapa kelab seperti America Mineiro, Novorizontino, Ituano, dan Inter de Limeira bagi mematangkan corak permainnya.
Rekod terbaiknya di Brazil adalah pada tahun 2023 apabila dia menyertai Portuguesa dan mengumpul tujuh gol dalam 12 perlawanan Copa Paulista, sekali gus membuka jalan untuknya melebarkan sayap untuk julung kalinya ke luar negara.
Moraes menandatangani kontrak bersama Buriram United FC semasa pertengahan musim 2024 yang mana dia tampil cemerlang dalam Liga Thai dengan menyumbang tujuh gol dalam 14 perlawanan termasuk dalam aksi dalam ACL Elite dan Keuaraan Kelab ASEAN. – MalaysiaGazette
















