Rafizi Ramli dan Mohd Puad Zarkashi.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menasihatkan Puad Zarkashi supaya tidak bimbang tentang pengakhiran politik beliau selepas peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi ekoran kekalahan dalam pemilihan PKR baru-baru ini.

Dalam hantaran di laman sosial hari ini, bekas Timbalan Presiden PKR itu turut mengingatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu supaya memikirkan amalan dan dosa pahala masing-masing.

“Lebih baik fikirkan amalan dan dosa pahala masing-masing, lebih-lebih lagi kalau umur itu 20 tahun lebih tua dari saya,” katanya.

Kenyataan Rafizi sebagai reaksi kepada hantaran Puad semalam yang mengingatkan bekas Menteri Ekonomi itu supaya “jangan terlebih bakar, takut berakhir dalam penjara”.

Artikel berkaitan: Puad nasihat Rafizi: Jangan bakar lebih-lebih, takut berakhir di penjara

Mengulas lanjut, Rafizi menyatakan beliau sudah lama bersabar meskipun sering dicuit oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu.

“Bertahun-tahun dia cuit saya tapi saya tidak pernah balas. Sebahagiannya kerana saya menghormati tata cara bila duduk bersama dalam kerajaan, sebagai pimpinan kanan KEADILAN, saya tidak wajar menghentam secara terbuka seorang wakil rakyat dari UMNO.

“Sepatutnya, orang berbudi kita berbahasa. Tapi tidak begitulah, sebab manusia ni ada macam-macam jenis,” katanya.

Rafizi turut menyentuh peranan Puad sebagai Ketua Pengarah JASA ketika era pentadbiran Barisan Nasional sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dirumuskan ebagai individu yang terpalit dengan kegagalan mempertahankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya juga faham kalau Puad Zakarshi ni marah dekat saya sampai bila-bila. Dia dulu Ketua Pengarah JASA (sekarang ni dipanggil JKOM) yang diberi tanggungjawab mempertahankan Dato’ Seri Najib sebelum PRU 2018.

“Memang letihlah nak bersilat dengan isu-isu yang saya bawa ke arah PRU 2018,” katanya.

Beliau secara sinis mengaitkan pengguguran Puad sebagai calon Parlimen Batu Pahat pada 2018 sebagai refleksi prestasi politiknya ketika itu.

“Mungkin kerana dilihat tidak berapa berfungsi semasa menjadi KP JASA, dia digugurkan dari menjadi calon UMNO Parlimen Batu Pahat dalam PRU 2018. Kecoh sebentar dia nak bertanding bebas, dilaporkan sudah beli dua borang pun,” sindir Rafizi merujuk laporan media tahun 2018.

Ahli Parlimen Pandan itu turut menyifatkan kemenangan Puad dalam Pilihan Raya Negeri Johor di DUN Rengit kerana Pakatan Harapan ketika itu ‘sendu’.

Rafizi turut menganggap nasihat Puad sebagai cubaan mencuri perhatian supaya media memetik namanya menjadi berita.

“Kalau saya takutkan ada kes, saya tidak meletakkan jawatan. Saya akur kepada apa saja yang dikehendaki. Suruh saya diam, saya diam. Suruh saya melompat, saya melompat,” katanya.

Dalam kenyataannya, Rafizi turut menjelaskan sepanjang menjawat jawatan Menteri sebelum ini, beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang urusan perolehan secara langsung mahupun melangkaui batas kuasa.

“Saya tidak pernah panggil KSU atau pegawai untuk perolehan. Bahkan untuk bidang yang memang kuasa saya, saya tubuh jawatankuasa agar keputusan dibuat secara bersama, bukan saya seorang.”

Menjawab sindiran Puad kononnya beliau bakal berdepan kes mahkamah, Rafizi berkata beliau tidak pernah diugut, dipanggil atau dilaporkan atas sebarang salah laku setakat ini.

Malah, beliau turut mengimbas semula pengalaman dipenjarakan semasa era pentadbiran terdahulu, termasuk 14 kes mahkamah yang dihadapinya sebelum PRU14.

“Masa itu pun saya redha semuanya. Saya serah kepada ketentuan Allah. Jadi kalau nak nasihat saya tentang penjara, orang itu patut ingat, zaman dia saya dah pun lalui semua itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. menabur fitnah menghasut menanam kebencian dan berbohong dosanya sangatlah besar dan tidak terampun selagi tidak memknta maaf kepada orang yang disassrkan. segeralah minta maaf kepada najib dan bertaubat.

Comments are closed.