Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menasihatkan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli supaya tidak `bakar’ (mengkritik) partinya dan kerajaan secara berlebih-lebihan.

Ini kerana, kata beliau, dibimbangi nasib Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi itu berakhir di penjara.

Nasihat itu diberikan dalam hantaran terbaharu beliau di Facebook hari ini yang menyentuh mengenai pengakhiran politik Rafizi selepas beliau tewas dalam pemilihan PKR baru-baru ini.

Ujarnya, beliau sebelum ini pernah mencadangkan supaya Rafizi bergabung di bawah pakatan baharu politik bersama-sama beberapa figura politik tersohor seperti Khairy Jamaluddin; Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Namun cadangan itu nampaknya sukar dilaksanakan kerana akan menimbulkan isu seperti yang akan menjadi Presiden dan siapa yang akan mengalah.

“Nasihat saya kepada Rafizi People who live in glass houses shouldn’t throw stones. (Jangan baling batu jika tinggal dalam rumah kaca).”

“Takut berakhir dalam penjara. Bakar menteri sudah, berhenti menteri pun sudah. Jangan bakar lebih lebih. Kes boleh dicari,” katanya.

Pada pemilihan PKR hujung bulan lalu, Rafizi gagal mengekalkan jawatan Timbalan Presiden PKR yang disandangnya selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar.

Keputusan itu kemudiannya menyaksikan Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun lalu.

Sejak tidak lagi menjadi Timbalan Presiden PKR dan menteri, Rafizi semakin lantang dalam membuat kenyataan yang dilihat tidak sealiran dengan Kerajaan Madani dan PKR khususnya menerusi platform audio siar (podcast) beliau, Yang Bakar Menteri. – MalaysiaGazettte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast