Bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan subseksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) sebagai tidak sah dari segi Perlembagaan.

Keputusan sebulat suara itu dibacakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam prosiding yang turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.

Dalam penghakimannya, Tengku Maimun menegaskan bahawa subseksyen 9(5) melanggar kebebasan berhimpun yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) serta prinsip kesamarataan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kes ini berpunca daripada permohonan yang difailkan oleh bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abdul Hadi, yang mencabar kesahan peruntukan itu susulan pendakwaan terhadapnya menganjurkan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ tanpa memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal.

Namun, Tengku Maimun menjelaskan bahawa cabaran perlembagaan ini hanya ditujukan terhadap hukuman dalam subseksyen 9(5), bukan terhadap keperluan pemberian notis seperti diperuntukkan dalam subseksyen 9(1).

Mahkamah berpandangan bahawa meskipun tujuan APA 2012 adalah untuk menjaga ketenteraman awam, subseksyen 9(5) adalah terlalu keras kerana menjadikan kegagalan memberi notis sebagai satu kesalahan jenayah walaupun perhimpunan itu berlangsung secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman.

“Subseksyen ini menimbulkan kesan undang-undang yang menjurus kepada satu bentuk larangan menyeluruh (blanket prohibition), dan bukannya satu sekatan yang munasabah.

“Ia menghukum seseorang penganjur semata-mata kerana tidak memberi notis, walaupun perhimpunan berlangsung secara aman dan tidak mencetuskan kekacauan,” katanya hari ini.

Mahkamah menegaskan bahawa sekatan terhadap hak berhimpun mestilah melalui pendekatan pengawalseliaan (regulatory) dan bukan dalam bentuk hukuman jenayah yang bersifat menyekat secara mutlak.

Ia turut menolak hujah bahawa subseksyen 9(5) bertujuan semata-mata menjaga ketenteraman awam kerana undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan peruntukan lain dalam APA 2012 sudah mencukupi untuk menangani sebarang insiden keganasan.

Mengambil kira prinsip ‘ujian kesepadanan’ (proportionality test), mahkamah memutuskan bahawa subseksyen 9(5) tidak memenuhi syarat sebagai satu sekatan yang wajar dan seimbang terhadap hak berhimpun.

Mahkamah turut merujuk kepada beberapa keputusan terdahulu yang memperkukuhkan tafsiran terhadap Perkara 10 Perlembagaan seperti kes Azmi Sharom dan dan Sivarasa Rasiah, bagi menyokong pendiriannya bahawa mana-mana undang-undang yang mengawal hak berhimpun mestilah tidak menyimpang daripada maksud asal dan semangat Perkara 10(1)(b).

Pada 26 Ogos 2022, Amir Hariri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan pada 14 Ogos 2022.

Menurut fakta kes, Amir Hariri didakwa pada 26 Ogos 2022 atas kesalahan tidak memberikan notis kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi sebelum perhimpunan tersebut berlangsung pada 14 Ogos 2022 di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur.

Jika disabitkan, beliau boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 di bawah subseksyen 9(5). -MalaysiaGazette

Keputusan rujuk Seksyen 9 (5) APA 2012 satu kemenangan kepada rakyat – Amir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast