Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) tidak berperlembagaan.

Demikian ciapan Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abdul Hadi menerusi akaun X hari ini.

Beliau menyifatkan kejayaan terhadap permohonannya sebelum ini untuk merujuk akta tersebut ke peringkat perundangan sebagai kemenangan untuk rakyat.

Amir dalam masa yang sama turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hari ini.

Screenshot

“Alhamdulillah. Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman diputuskan hari ini di Mahkamah Persekutuan, tidak berperlembagaan! Kemenangan buat rakyat untuk berhimpun secara aman!,” tulisnya lagi.

Sebagai rekod, pada 26 Ogos 2022, Amir Hariri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan pada 14 Ogos 2022.

Dia didakwa selaku penganjur gagal memberitahu pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 2 petang, 14 Ogos 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Kemudian Amir Hariri mencabar kesahihan akta berkenaan.

Pada Ogos lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya untuk merujuk persoalan perlembagaan mengenai APA 2012 ke Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berharap dengan keputusan berkenaan, tiada lagi mana-mana pihak berkuasa akan menggunakan Seksyen 9 (5) APA 2012 untuk menindas dan mendiamkan suara rakyat.

“Kemenangan Amir Hadi ini merupakan kemenangan untuk semua rakyat Malaysia. Hari ini, rakyat Malaysia menang dalam perjuangan menentang penindasan penguasa,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast