BUTTERWORTH – Berpantang maut sebelum ajal. Itulah nasib yang menimpa dua pemandu yang terselamat selepas kenderaan mereka dihempap sebatang pokok besar yang tumbang di Jalan Pipato, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, masing-masing lelaki dan wanita tempatan itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya keluar daripada kenderaan dipandu mereka.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, lapan anggota bersama satu jentera LFRT bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 pagi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan kami mendapati sebatang pokok tumbang telah menghempap sebuah treler dipandu seorang lelaki dan sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu wanita dan tiada mangsa mengalami kecederaan.
“Susulan itu, kita segera melakukan kerja-kerja pemotongan menggunakan gergaji rantai serta membersihkan lokasi dengan bantuan anggota Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan kawalan trafik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, operasi selesai sepenuhnya pada jam 9.51 pagi. – MalaysiaGazette
















