KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa institusi negara sudah rosak susulan kenyataan `kes boleh dicari’ yang dibuat oleh Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkenaan berkata, beliau juga beranggapan kenyataan Mohd Puad itu memperkukuhkan lagi perseps kerajaan hari ini bermaharajalela dalam memperkudakan agensi penguatkuasaan untuk tujuan politik.
“Kalau kes boleh dicari, maksudnya boleh ada yang akan diarahkan untuk mencari. Siapa yang boleh bagi arahan? Siapa yang boleh laksana arahan?
“Jika kes boleh dicari, maka tidak mustahil kes juga boleh dipadam. Itulah tawaran yang diberi kepada saya semasa saya dipujuk untuk lompat parti tahun lepas.
“Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mendapati saya tidak menipu Parlimen semasa saya membuat pendedahan itu.
“Satu demi satu kerosakan kepada institusi yang dilakukan oleh kerajaan PHBN dibongkar,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Beliau merujuk kenyataan Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di laman sosial Facebooknya baru-baru ini yang ditujukan kepada bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menerusi hantaran itu, Mohd Puad memberi peringatan kepada Rafizi supaya tidak berlebihan dalam mengkritik kerajaan dan parti sendiri kerana bimbang boleh berakhir di penjara.
“Bakar menteri sudah, berhenti menteri pun sudah. Jangan bakar lebih lebih. Kes boleh dicari,” tulis Mohd Puad menerusi hantaran itu. – MalaysiaGazette
Puad nasihat Rafizi: Jangan bakar lebih-lebih, takut berakhir di penjara
















