KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk dua pemilik syarikat direman kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berkaitan perolehan percetakan dokumen Permit To Work (PTW) bernilai kira-kira RM5 juta.
Perintah reman selama empat hari bermula semalam sehingga 5 Julai ini terhadap tiga suspek lelaki dan seorang suspek wanita berusia lingkungan 40 hingga 50-an dikeluarkan Majistret Dzul Elmy Yunus selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
Menurut sumber, kesemua suspek ditahan kira-kira antara jam 6 petang hingga 7 malam pada Isnin yang lalu, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri itu.
“Keempat-empat suspek, dua daripadanya yang merupakan bekas Pengurus Tadbir dan bekas Pembantu Tadbir sebuah syarikat minyak tempatan dipercayai telah melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2019 sehingga 2023.
“Kedua-dua suspek tersebut juga disyaki telah bersubahat dengan kedua-dua pemilik syarikat dengan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan perolehan percetakan dokumen Permit To Work (PTW) bernilai kira-kira RM5 juta,” katanya.
Katanya, tangkapan terhadap kesemua suspek ini adalah susulan Op Effingo yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK), SPRM.
Jelasnya, BOK pada Isnin lalu mengeledah 10 lokasi berbeza termasuk kediaman suspek, pejabat dan beberapa buah syarikat di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan Lembah Klang.
“Melalui operasi yang dijalankan, SPRM telah menyita 22 akaun bank termasuk akaun ASB bernilai kira-kira RM2 juta dan juga pelbagai mata wang asing berjumlah kira-kira RM14,000.
“Selain itu SPRM turut menyita tiga unit kereta mewah berjumlah kira-kira RM1.3 juta dan tiga unit telefon bimbit,” katanya lagi
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kesalahan lain di bawah AMLATFPUAA 2001 berkaitan aliran wang yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.-MalaysiaGazette















