Rahmad mengesahkan surau yang tular disyaki berlaku kesilapan pada tulisan khat kufi Allah di ruang solat utamanya terletak di Sebatu, Merlimau, Jasin.

JASIN – Pihak berkuasa agama negeri mengesahkan surau yang tular selepas disyaki berlaku kesilapan tulisan khat kufi Allah di ruang solat utamanya terletak di Sebatu, Merlimau di sini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, beliau telah mengarahkan pegawai dan anggota daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke lokasi itu esok.

“Saya dah minta (pengurusan surau) supaya tidak menanggalkan tulisan khat kufi itu sehingga ia benar-benar disahkan berlaku kesilapan.

“Esok JAIM dan KDN akan mengesahkannya malah saya sendiri akan turun padang bersama mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Tinjauan MalaysiaGazette di Surau Darul Dhiya, Taman Sebatu Putra Merlimau, mendapati tulisan khat kufi di surau berkenaan masih berada di situ.

Tinjauan MalaysiaGazette di Surau Darul Dhiya, Taman Sebatu Putra Merlimau, Jasin, mendapati tulisan khat kufi di surau berkenaan masih belum dibuka.

 

Ahli kariah surau berkenaan ketika ditemui berkata, mereka terkejut kerana kesilapan itu langsung tidak disedari penduduk sejak ia di pasang tiga tahun lalu membabitkan kos keseluruhan termasuk peralatan lain berjumlah RM20,000.

“Kami juga terkejut apabila kejadian ini tular sejak pagi tadi dan sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu tular di Facebook (FB) pempengaruh terkenal, Mohd Fadli Salleh memaklumkan kesilapan khat kufi itu yang didakwa berlaku di sebuah masjid di Melaka.

Perkongsian yang dimuat naik pempengaruh itu yang mempunyai lebih 800,000 pengikut pada pukul 10 pagi tadi mendapat pelbagai reaksi masyarakat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast