BAYAN LEPAS – Polis memberkas empat lelaki yang sedang leka memotong kabel Telekom Malaysia (TM) di dalam lubang laluan kabel di Persiaran Mahsuri, Bayan Baru, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kesemua suspek berusia 28 hingga 44 tahun itu ditahan jam 3.30 pagi oleh sepasukan anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah.
Jelas beliau, terdahulu, pihaknya ternampak lubang kabel dalam keadaan terbuka sebelum mendapati empat lelaki sedang leka memotong kabel menggunakan alat pemotong.
“Susulan itu, pegawai polis memperkenalkan diri sebelum menjalankan pemeriksaan dan hasil semakan membawa kepada penemuan 15 batang keratan kabel bertulis TM Berhad, alat memotong dan menarik kabel serta peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.
“Hasil soal siasat lanjut kesemua suspek yang masing-masing merupakan pekebun dan buruh itu datang dari Sungai Petani, Kedah semata-mata untuk mencuri kabel di Pulau Pinang,” katanya, hari ini.
Tambah beliau, semakan lanjut mendapati tiga daripada supek tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya. – MalaysiaGazette















