PUTRAJAYA – Kenaikan harga ais batu dari syarikat pembekal, Sim Yang Hock Industries Sdn. Bhd dan Ramly Burger yang tular bukan berpunca daripada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sebaliknya disebabkan peningkatan kos operasi dan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dalam pertemuan bersama dua syarikat terbabit pada 1 Julai lalu, kedua-duanya tidak menyebut SST sebagai alasan kepada pelarasan harga yang dirancang.
“Sebaliknya mereka menjelaskan antara faktor utama adalah peningkatan kos operasi, kos bahan mentah, kos utiliti, kos logistik serta pelaksanaan Perintah Gaji Minimum yang memberi kesan kepada kos tetap syarikat kerana jumlah pekerja mereka yang agak besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Apresiasi Rakan Strategik Penguatkuasaanbersempena Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-53, di sini, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua syarikat terlibat juga telah bersetuju untuk menangguhkan sementara cadangan kenaikan harga yang dijadualkan bermula bulan ini ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Dalam pertemuan itu juga, syarikat pembekal ais batu tampil menafikan dakwaan kononnya harga produk meningkat daripada RM3.70 kepada RM6, seperti yang tular di media sosial.
“Mereka menjelaskan maklumat itu adalah palsu, tiada notis rasmi dikeluarkan, dan satu laporan polis telah dibuat,” tambahnya.
Sementara itu, KPDN telah mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada pihak Ramly Burger di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, bagi mendapatkan justifikasi terhadap asas pelarasan harga mereka.
“Kita telah memberikan nasihat bahawa sekiranya mereka ingin menaikkan harga, maklumat-maklumat tertentu perlu dibekalkan terlebih dahulu seperti yang dituntut di bawah Seksyen 21,” katanya.
Armizan turut mengingatkan mana-mana syarikat agar tidak menjadikan SST sebagai alasan tanpa memahami dasar dan senarai barang yang sebenarnya tertakluk kepada cukai berkenaan.
“Sebelum menaikkan harga, mereka sepatutnya merujuk dahulu kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Kewangan.
“Ini kerana bukan semua produk tempatan dikenakan SST dan ada juga produk import yang dikecualikan,” jelasnya.
KPDN juga akan terus memantau pergerakan harga berdasarkan aduan pengguna serta data dalaman kementerian dan akan bertindak dalam tempoh 24 jam sekiranya terdapat elemen pencatutan.
“Kita alu-alukan aduan daripada orang ramai kerana bilangan penguat kuasa kita tidak mencukupi untuk memantau kesemua premis runcit di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















