GEORGE TOWN – Seorang jurutera Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Daerah Barat Daya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM13,000 daripada seorang pengarah syarikat bagi meluluskan kerja-kerja perolehan pada Mac 2022.
Tertuduh, Mohamaed Rizal Salim, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa meminta suapan RM13,000 untuk dirinya daripada Pengarah Syarikat HHSB Enterprise, Toh Kean Hin sebagai dorongan untuk meluluskan kerja-kerja perolehan di JPS Daerah Barat Daya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat JPS Daerah Barat Daya dekat sini, pada Mac 2022.
Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam, Aqmarul Aqil Ismail.
Ketika prosiding Noor Azura menawarkan jaminan RM15,000 namun Aqmarul Aqil dalam mitagasi rayuannya mohon jaminan minimum atas alasan pendapatan bulanan anak guamnya hanya RM6,000 selain perlu menangggung empat anak, isteri serta ibu.
“Anak guam saya mempunyai anak berusia dua hingga 11 tahun selain perlu membayar pinjaman yang dibuat untuk membiayai kos perubatan kanser rahim ibunya di sebuah hospital swasta,” kata Aqmarul Aqil.
Zulhazmi kemudian menetapkan tertuduh perlu membayar jaminan RM10,000 serta laporan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran.
Mahkamah menetapkan 8 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.
Media pada 14 Februari 2024 melaporkan seorang jurutera jabatan kerajaan direman SPRM susulan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM13,000 daripada kontraktor yang menjalankan kerja-kerja kontrak di jabatan berkenaan.
Siasatan awal mendapati lelaki itu telah menggunakan wang itu untuk membeli sebuah meja snooker dan sebuah meja ping-pong untuk ditempatkan di pejabatnya. – MalaysiaGazette
















