Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berucap pada Program Derma Darah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak Sempena Hari Polis Ke-218 Tahun 2025 di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 03 JULAI 2025.

IPOH – Siasatan kes bunuh seorang lelaki berusia 57 tahun yang ditemukan dengan kesan tikaman di sebuah rumah di Taman Tasek Damai di sini pada 24 Jun lalu telah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kes itu diambil alih selepas hasil siasatan mendapati ia mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah terancang serta melibatkan sempadan luar negara.

Menurutnya, pihaknya turut bekerjasama dengan Polis ASEAN (ASEANAPOL) dan Polis Antarabangsa (Interpol) serta pelbagai pihak berkaitan bagi membantu siasatan.

“Kami sangkakan ini jenayah tempatan sahaja, rupanya ia melibatkan sesuatu yang lebih besar, melibatkan jenayah terancang yang membabitkan soal sempadan luar negara,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program derma darah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak sempena peringatan Hari Polis Ke-218 tahun 2025 di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisam berkata, anak lelaki mangsa berusia 31 tahun yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah dilepaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat, Selasa lalu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan berkata, mangsa terbabit ditemukan terlentang dan berlumuran darah di dapur rumah berkenaan dengan kesan tikaman di perut serta hirisan pada dada dalam kejadian tersebut.

Bagaimanapun, hasil laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menemui kesan luka tembakan di dada kiri yang dipercayai menjadi punca kematiannya. – MalaysiaGazette

Bapa maut ditikam, anak direman bantu siasatan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast