JASIN – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengarahkan semua pengurusan masjid di negeri ini supaya membenarkan proses pengebumian anak luar kariah mereka terutamanya apabila melibatkan pasangan suami isteri atau anak.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, beliau kecewa dalam kes yang tular baru-baru ini apabila timbul isu kebenaraan mengebumikan sepasang suami isteri yang maut dalam kemalangan atas alasan bukan anak kariah.
Menurutnya, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku sekiranya pengerusi dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid menggunakan budi bicara dan mencerminkan sentimen kemanusian berbanding ‘peraturan’ yang tidak termaktub itu.
“Kadang-kadang berlaku kes si mati ini bukan anak kariah tetapi dia merupakan suami, isteri atau pada anak kariah yang meninggal dunia dalam satu tragedi jadi gunalah budi bicara kerana keluarganya ada di situ.
“Benarkan mereka dikebumi sekali dan tidak menyusahkan waris untuk urusan pengebumian di dua tempat berasingan atas alasan bukan anak kariah,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Mengulas lanjut Rahmad berkata, secara rasminya tiada disebut mana-mana peraturan atau ketetapan yang mewajibkan jenazah mestilah anak kariah kawasan berkenaan.
“Cumanya ini adalah amalan biasa dalam mana-mana kariah masjid tapi kenalah juga ikut budi bicara apatah lagi jika
tanah yang ada masih luas.
“Kalau ada masjid yang sudah tidak cukup tanah perkuburan, JAIM akan bantu dapatkan kawasan baru sama ada menggunakan tanah wakaf sedia atau atau menggunakan dana untuk beli tanah lain yang sesuai,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai pasangan suami isteri terpaksa dikebumikan di Tanah Perkuburan Bidadari, MITC, Ayer Keroh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada awal pagi 27 Jun lalu.
Ia selepas pengerusi masjid di Jasin itu menolak untuk memberikan kebenaraan mengebumikan jenazah wanita kerana bukan anak kariah di situ sebaliknya hanya membenarkan arwah suaminya sahaja dikebumikan di kampung berkenaan.
Bagaimanapun, isu berkenaan selesai apabila jenazah pasangan itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Bidadari, MITC, Ayer Keroh yang turut dikhaskan untuk pengebumian anak luar kariah masjid. – MalaysiaGazette
















