Sahela mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan pecah amanah.

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah melibatkan pelupusan harta syarikat berjumlah RM150,000 pada bulan lalu.

Tertuduh, Sahela Abdul Rahim, 41, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu telah secara tidak jujur menyebabkan seorang ejen melupuskan harta iaitu tiga buah kepala lori jenis Scania milik syarikat pengangkutan berjumlah RM150,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor di Taman Daya di sini pada 10 Jun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun yang sama.

Pengarah syarikat tersebut boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahli manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Azwad Sariman.

Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah agar tertuduh diikat jamin dengan bayaran RM50,000.

Khairul Azwad memohon agar diberikan jaminan yang minima atas alasan anak guamnya merupakan seorang ibu kepada tiga anak yang masih bersekolah dan berpendapatan RM4,000 sebulan.

Menurutnya, siasatan terhadap kes berkenaan telah bermula sejak tahun lalu dan tertuduh memberikan kerjasama termasuk hadir memberi keterangan kepada SPRM setiap bulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan menetapkan 19 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast