Kompleks Mahkamah Melaka

MELAKA – Seorang penganggur yang dipercayai merogol anak bongsunya, gadis kurang upaya (OKU) bulan lalu serta seorang lagi anak perempuannya disyaki bersubahat dengan bapanya itu direman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, pagi tadi.

Reman terhadap lelaki berusia 54 tahun itu selama tujuh hari dan anak sulungnya, 25 tahun, lima hari bermula hari ini, dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Nurul Asyikin Rosli.

Perintah itu dipohon pengawai penyiasat bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan atas kesalahan sumbang mahram selepas dua beranak itu ditahan di Cheng, petang semalam.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas disyaki merogol anak gadisnya berusia 23 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) di rumahnya di Cheng di sini bulan lalu.

Turut ditahan adalah kakak mangsa berusia 25 tahun yang dipercayai bersubahat menyembunyikan perbuatan keji bapanya selepas diadukan adiknya itu yang berkerja sebagai pembantu gerai di Klebang.

Menurut sumber, kejadian pada 6 Jun lalu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibu saudaranya yang kemudian membawanya membuat laporan polis.

“Mangsa yang masih bujang dan merupakan OKU pembelajaran mendakwa dia tiba-tiba ditarik bapanya itu yang tidak bekerja ke dalam bilik selepas mandi kira-kira 9 pagi pada 6 Jun lalu.

“Suspek yang kematian isteri akibat kanser pada 2008 kemudian terus merogol pengadu selepas cubaan mangsa melepaskan diri tidak berjaya,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, suspek turut memukul kaki pengadu yang merupakan anak bongsu dari dua beradik menggunakan tali pinggang dan mengugut pengadu merahsiakan perbuatannya itu.

Pengadu mendakwa sebelum ini, bapanya itu juga pernah merogol dan memukulnya dan dia pernah menceritakan kejadian kepada kakaknya.

“Bagaimanapun kakaknya enggan percaya sebaliknya turut memukul pengadu merasakan adiknya telah memfitnah bapanya.

“Pengadu yang berasa takut untuk pulang ke rumah kemudian telah menceritakan kejadian berkenaan kepada ibu saudaranya sebelum membawanya membuat laporan polis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast