KUANTAN – Penduduk rumah kilang di Felda Panching Utara, di sini sangat kecewa apabila tiada pihak berkuasa yang ambil peduli dengan aduan hakisan di jalan utama perumahan itu yang semakin kritikal.
April lalu, MalaysiaGazette telah mendedahkan masalah pendudu di sini dan dua bulan berlalu didapati hakisan di kawasan ini semakin membesar.
Seorang penduduk, Siti Aminah Arifin, 57 yang pernah ditemui MalaysiaGazette bulan April lepas, berkata, setakat ini kebimbangan penduduk masih tidak dipedulikan oleh mana-mana pihak berkuasa.

“Keadaan bertambah teruk lagi. Saya pun tak tahu pihak mana yang bertanggungjawab perbaiki jalan ini. Marilah turun sini tengok. Sebab tiada yang datang dan tengok keadaan jalan ni.
“Sekarang hampir separuh jalan ni dah runtuh, ngam-ngam tayar sebuah kereta sahaja. Nak selisih pun tak boleh dah. Kalau lori muatan buah sawit masuk, takut lagi teruk jalan ni.
“Baru-baru ni kejadian ribut, habis semua papan tanda dan kon di sini diterbangkan angin. Jadi bahayalah lebih-lebih lagi waktu malam,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Jasnishah Jaafar, 50 , memberitahu terdapat jentera berat seperti jengkaut, mesin giling dan lori melalui laluan itu, sekali gus menambah kerosakan dan runtuhan.
Sebelum ini, difahamkan kawasan runtuhan seluas 2.6 meter dengan panjang 7.3 meter serta lebar jalan terlibat pula adalah 3.1 meter.
Bagaimanapun, menerusi tinjauan MalaysiaGazette hari ini, keluasan runtuhan semakin bertambah dan turut membabitkan satu lagi pembentung di bawah laluan itu pecah dan runtuh.

“Saya wakil penduduk di sini nak minta mana-mana pihak untuk ambil tindakan segera lah. Tak kan nak tunggu jalan ni pecah, berlaku kematian, baru nak ambil tindakan?
“Sebab bukan penduduk sahaja guna jalan ni, tapi peladang dan lori hari-hari guna jalan ni. Saya minta minta pihak bertanggungjawab ambil tindakan lah,” kata Jasnishah.
Kebimbangan sama turut dirasai Aliya Zainal Abidin, 38 yang mendedahkan nyaris terbabas di laluan itu ketika melaluinya pada waktu malam.

“Kalau siang bolehlah nampak, tapi kalau malam susah dan bahaya. Saya pun kadang tu tak nampak dan memang rasa macam nak terbabas. Ada rasa takut jugalah,” kata Aliya.
Seorang lagi penduduk, Sharifah Fadilatul Natrah Syed Hassan, 35 pula berkata, dia risau setiap kali berlaku hujan kerana jalan itu merupakan satu-satunya laluan keluar masuk dari kawasan perumahan itu.

“Terutama kalau waktu malam dan hujan, memang kita bimbang sebab takut runtuh dan ia akan jadi masalah kepada kami semua.
“Kami mohon sangat pihak berwajib untuk turun dan tengk lah keadaan kami di sini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, MalaysiaGazette difahamkan pihak Roadcare (M) Sdn Bhd sudah mengambil tindakan awalan selepas menerima laporan pada 14 April lepas.
Selain meletakkan pelan kawalan trafik, Roadcare juga dalam proses menunggu kelulusan permohonan peruntukan sebanyak RM193,674.87 bagi kerja-kerja baik pulih di lokasi terbabit. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















