Johari berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di Noor Event Hall, Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – UMNO perlu menjiwai pemikiran dan memberi tumpuan terhadap keperluan generasi muda untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, ia pada PRU ke-16,  golongan terbabit membentuk hampir 40 peratus pengundi.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, langkah itu merupakan strategi yang perlu dirangka semula menjelang PRU-16.

Oleh itu, beliau mengingatkan ahli UMNO supaya tidak leka dengan kejayaan sebelum ini sebaliknya memberi tumpuan terhadap faktor orang muda.

“Memang betul kita mempunyai kejayaan, rekod prestasi cukup hebat, namun generasi muda hari ini tidak lagi hanya melihat kepada sejarah lampau dan kejayaan parti.

“Generasi muda menilai komitmen pemimpin terhadap pelbagai isu masa depan termasuk alam sekitar dan integriti pemimpin,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di Noor Event Hall di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Ketua Wanita UMNO Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Tambah, pilihan raya selepas ini dan akan datang bakal menjadi medan ujian dan penentu buat UMNO sama ada parti itu berubah mengikut peredaran zaman terutama pemikiran generasi muda atau kekal dengan gaya dan kaedah lama.

“PRU-16 ini dan ke hadapan, lebih 40 peratus generasi muda bakal jadi penentu,” katanya

Johari berkata, UMNO perlu menerima hakikat generasi muda tidak lagi melihat kejayaan lampau sesebuah parti sebaliknya menilai apa yang bakal berlaku pada masa depan.

“Generasi muda mahu lihat pemimpin yang bukan sahaja perjuangkan kepentingan mereka malah isu dunia yang berlaku.

“Mereka tekankan soal integriti dan kredibiliti pemimpin, selain nak lihat bagaimana pemimpin itu komited dalam perjuangan rakyat. Mereka akan buat penilaian berkenaan,” katanya.

Johari berkata, selepas enam dekad UMNO memegang tampuk kuasa, parti ini telah mencetuskan perubahan besar dalam cara generasi muda berfikir.

“Generasi muda melihat benda dari kaca mata dan mempunyai pemikiran yang berbeza daripada generasi terdahulu,” katanya.

Sehubungan itu, Johari mahu sayap parti terutama Pemuda dan Puteri UMNO menjadi jambatan antara generasi lama dan baharu dengan berkesan.

“Sayap parti menjadi kesinambungan penting supaya UMNO dapat menyusun strategi untuk masa akan datang dalam meletakkan golongan muda menjadi sebahagian daripada perjuangan parti.

“Suara golongan muda perlu diberi ruang supaya dapat menjadi sumber input penting kepada barisan kepimpinan parti.

“Maka input golongan muda ini akhirnya akan memberi kesedaran kepada pemimpin termasuk saya. UMNO kena lihat apa strategi untuk masa depan, apa yang kita nak susun dan sebagainya,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast