Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dilaporkan didera hingga mati oleh keluarga angkatnya dalam kejadian di Paya Jaras, Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, sepasang suami isteri yang berusia 27 dan 28 tahun ditahan di sekitar kawasan Sungai Buloh pukul 11 pagi pada hari sama.

Katanya, polis telah menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan berusia 35 tahun yang bertugas di Hospital Sungai Buloh pada pukul 12.25 pagi.

“Berdasarkan laporan, pengadu yang bertugas di zon merah Jabatan Kecemasan hospital itu telah menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar pukul 10.45 malam pada Khamis.

“Doktor bertugas bersama pengadu telah memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa namun tiada tindak balas dan mangsa disahkan meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam, bengkak dan luka di seluruh badan mangsa serta tompokan darah yang sudah kering di bahagian mulut dan hidungnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Hafiz, mangsa dihantar ke hospital itu oleh seorang lelaki dan wanita tempatan yang mengaku merupakan keluarga angkat kepada kanak-kanak malang itu.

“Hasil semakan ke atas kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam esok untuk permohonan reman.

“Mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” jelasnya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan diminta tampil membantu siasatan sekiranya mempunyai sebarang maklumat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast