KUALA LUMPUR – Pendedahan terbaharu Universiti Malaya (UM) yang mengutamakan pelajar mampu membayar yuran tinggi melalui saluran kemasukan terus SATU, sambil mengetepikan pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM yang layak, amat membimbangkan.
Amalan ini bukan sahaja tidak adil, malah bercanggah sama sekali dengan misi asas universiti awam — iaitu menyokong kecemerlangan akademik dan membantu pelajar dari latar belakang kurang berkemampuan, dakwa Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng.
Oleh itu, beliau menyeru kerajaan untuk segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dan membetulkan kepincangan dalam sistem kemasukan universiti awam negara.
RCI juga perlu mencadangkan reformasi menyeluruh yang menjamin ketelusan, keadilan, dan akses berasaskan merit.
Baru-baru ini, kumpulan pelajar University Malaya Association of New Youth (UMANY) mendedahkan kemasukan melalui SATU berpihak kepada pelajar berkemampuan tinggi.
Data yang dikemukakan amat membimbangkan apabila pada tahun 2023, daripada 337 pelajar yang diterima masuk ke program Pergigian UM, hanya dua orang pelajar STPM, manakala 102 orang pula melalui saluran SATU.
Ini membuktikan dakwaan kononnya SATU tidak menjejaskan peruntukan UPU adalah tidak benar.
Teik Cheng mengingatkan universiti awam dibiayai oleh wang rakyat, bukan syarikat swasta dan tujuannya ialah untuk membangunkan bakat negara, bukan mengaut keuntungan daripada mereka yang mampu membayar lebih.
“Kita tidak boleh membiarkan pendidikan awam berubah menjadi sistem “bayar untuk masuk”.
“Lebih membimbangkan, model kemasukan terus seperti SATU kini menjadi norma di banyak institusi — mewujudkan sistem di mana wang menentukan peluang, dan pelajar daripada keluarga B40 dan M40 diketepikan. Ini adalah pengkhianatan terhadap prinsip keadilan dan peluang yang sepatutnya menjadi asas sistem pendidikan kita,” ujarnya.
Sebagai institusi terulung negara, UM mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan padang permainan yang sama rata bagi semua pelajar yang layak — bukan hanya kepada mereka yang mampu dari segi kewangan. Jika corak ini berterusan, kita bukan sahaja akan kehilangan kepercayaan awam, tetapi juga menjejaskan pembangunan bakat jangka panjang negara, jelas Teik Cheng.
Pada masa sama, beliau menyeru menteri-menteri dari DAP juga perlu berhenti berdiam diri terhadap ketidakadilan ini.
“Bersuara di Kabinet. Bela pelajar STPM terutamanya dari komuniti bukan bumiputera yang sedang dipinggirkan oleh sistem yang sepatutnya melindungi mereka.
“Kita jangan lupa — bekas Timbalan Menteri Pendidikan daripada DAP, Teo Nie Ching, pernah menggalakkan pelajar menyambung pelajaran ke peringkat STPM, kononnya ia memberi kelebihan. Sekarang apabila universiti awam menutup pintu kepada pelajar STPM, bukankah itu satu pengkhianatan?
“Jika kerajaan mendorong pelajar memilih laluan STPM, maka kerajaan juga bertanggungjawab memastikan mereka tidak dinafikan peluang kemasukan secara tidak adil. Kerajaan wajib menyusun semula sistem ini dan mengembalikan keadilan sebenar dalam kemasukan universiti — di mana masa depan ditentukan oleh merit, bukan kekayaan,” ujar beliau lagi. – MalaysiaGazette

















Pandailanhhh korang belit yaaa…kuota utk STPM dan Matrik tu ialah kuota saluran Perdana yg ditetapkan dan diuruskan oleh UPU berdasarkan kapasiti universiti dan pelajar yg cemerlang…pelajar yg masuk saluran perdana tu dibiayai oleh kerajaan dgn subsidi…utk saluran SATU tu tak ada subsidi…bayar full dan tidak menggunakan kuota UPU..sama mcm pelajar antarabangsa..tujuannya ialah bg pihak Universiti menjana kewangan…kalau ko anak org kaya..kau tak payahlah sibuk nak subsidi bagai…tamak giler