Seorang pelajar tingkat empat maut dalam kemalangan di Persiaran Sukan, Seksyen 13, Shah Alam, pada Jumaat.

SHAH ALAM – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas motosikal Honda EX5 ditunggang bersama rakannya selepas hilang kawalan hingga melanggar pembahagi jalan di Persiaran Sukan, Seksyen 13, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan maut di tempat kejadian.

“Manakala pembonceng pula mengalami kecederaan di leher dan luka-luka di kaki telah dibawa ke Hospital Shah Alam menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Iqbal, ketika kejadian kedua-dua pelajar tingkatan empat sekolah menengah itu dalam perjalanan dari arah Bulatan Sukan menghala ke Giant, Seksyen 13, di sini.

“Apabila melalui kawasan Ramly Halal Mart, mangsa disyaki telah hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke atas jalan.

“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, Iqbal menyeru mana-mana saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast