SEGAMAT – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau bukan seorang yang pendendam terhadap saingan atau seteru politiknya.
Beliau menjelaskan, ini kerana apa yang lebih penting serta utama adalah perjuangan parti dan bukan dirinya.
“Saya bukan pendendam. Saya tidak akan cabut keris selagi tiada keperluan. Apa yang saya jaga bukan diri saya, tetapi organisasi kita UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucapmerasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Segamat di Dewan Serbaguna Taman Yayasan di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Zahari Sarip.
Selain itu, Ahmad Zahid mahu sebarang pertelingkahan dalam parti yang melibatkan pertembungan pendapat perlu diurus dengan baik dan beradab.
Beliau menggesa sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan ahli dizahirkan secara beretika, khususnya ketika membincangkan isu-isu dalaman parti.
“Kalau hari ini kita pemimpin kecil, insya-Allah satu hari nanti kita boleh jadi pemimpin besar. Tapi kalau kita pernah biadab dengan orang lain hari ini, bila kita naik nanti lebih ramai pula yang akan biadab dengan kita,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengingatkan ahli dan pemimpin parti mengelak daripada budaya menjatuhkan sesama sendiri.
Sebaliknya tegas beliau, semua pihak harus memperkukuh kerjasama dalaman demi kelangsungan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Jangan jadi macam ketam dalam bakul. Semua ketam nak keluar, tapi pijak yang lain supaya dia boleh naik. Akhirnya tidak ada seekor pun keluar, semua mati dalam bakul. Buat apa kita mati dalam bakul sebab pijak sesama sendiri,” soalnya.
Begitu juga katanya, budaya menuding jari dan menganggap diri sendiri sahaja betul hanya akan meretakkan keyakinan rakyat terhadap UMNO, sedangkan solidariti merupakan aset paling penting dalam politik.
Timbalan Perdana Menteri itu turut menolak pendekatan konfrontasi dan perpecahan dalaman, sebaliknya berpegang kepada prinsip mempertahankan institusi parti mengatasi kepentingan peribadi.
Ahmad Zahid turut menyeru seluruh jentera UMNO agar kekal fokus kepada usaha memperkukuh perpaduan akar umbi dan tidak menjadikan perbezaan pendapat sebagai punca perpecahan dalam parti.- MalaysiaGazette
















