Gambar tular di laman sosial menunjukkan Firos Mohamed, meninggal dunia selepas dilaporkan rebah ketika beraksi dalam perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam tadi. .

KUALA LUMPUR – Bekas penjaga gol bola sepak Pulau Pinang, Firos Mohamed, 53, meninggal dunia selepas dilaporkan rebah ketika beraksi dalam perlawanan empat penjuru Piala Dr Zambry Abd Kadir di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam tadi.

Penang FC dalam satu kenyataan di laman sosial rasminya telah mengesahkan perkara tersebut.

“Ahli Lembaga Pengarah dan seluruh warga kerja Penang FC mengucapkan salam takziah kepada keluarga bekas penjaga gol Pulau Pinang Firos Mohamed yang telah pulang ke rahmatullah.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang beriman. Dari Allah kita datang, kepada-Nya kita kembali,” menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu, beberapa video tular di media sosial memaparkan Firos rebah ketika beraksi menentang pasukan legenda dari Kedah.

Kejohanan tersebut menghimpunkan barisan legenda bola sepak dari empat negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.

Firos Mohamed dikenali sebagai antara penjaga gol terbaik Pulau Pinang dan negara pada era 1990-an.

Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast