TEXAS – Sekurang-kurangnya 78 orang disahkan maut dan 41 lagi masih hilang selepas banjir kilat melanda kawasan Texas tengah pada hari Jumaat.
Bencana tersebut merupakan antara operasi mencari dan menyelamat terbesar dalam sejarah negeri ini.
Daripada jumlah kematian, 68 mangsa termasuk 28 kanak-kanak, dilaporkan berlaku di Kerr County, lokasi kem musim panas Kristian untuk kanak-kanak perempuan, Camp Mystic, dilanda banjir besar.
Seramai 10 pelajar dan seorang kaunselor dari kem tersebut masih belum ditemui.
Angka korban dijangka terus meningkat, dengan lebih banyak hujan diramalkan dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang, sekali gus menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.
Pasukan penyelamat turut berdepan ancaman ular berbisa ketika mencari mangsa di celah lumpur dan serpihan.
Tiga hari selepas tragedi, operasi kini mula beralih daripada fasa penyelamatan kepada fasa pemulihan.
Daripada mayat yang ditemui di Kerr County, 18 dewasa dan 10 kanak-kanak masih belum dikenal pasti.
Gabenor Texas Greg Abbott pada hari Ahad berkata, pihak berkuasa akan “melakukan apa sahaja” untuk memastikan semua yang hilang ditemui.
“Ia amat menyayat hati melihat apa yang dilalui oleh kanak-kanak tersebut,” katanya selepas melawat kawasan bencana.
Tumpuan utama pencarian di Camp Mystic, kem musim panas popular di tepi Sungai Guadalupe, yang mengalami kerosakan besar.
Bencana berlaku sebelum subuh apabila sungai tersebut melimpah naik setinggi 8 meter dalam hanya 45 minit ketika kebanyakan peserta kem sedang tidur.
Antara yang terbunuh termasuk beberapa pelajar dan pengarah kem tersebut, Richard “Dick” Eastland.
Greg Froelick, bekas anggota Navy SEAL dan sukarelawan dengan kumpulan penyelamat 300 Justice berkata, terdapat mangsa ditemui sehingga 13 kilometer ke hilir dari lokasi kem.
Beliau turut menemui pakaian dan barang kem pelajar berselerakan di sepanjang sungai.
Pihak berkuasa masih tidak pasti berapa ramai lagi orang yang berkhemah di kawasan sekitar sempena cuti Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat dan mungkin turut dihanyutkan banjir.
Jalan raya dua lorong yang menghubungkan bandar Kerrville dengan Camp Mystic kini musnah, dengan rumah ranap, pokok tumbang, perabot terdampar, pagar runtuh dan talian elektrik terputus.
Presiden Donald Trump pada Ahad menandatangani pengisytiharan bencana besar untuk Kerr County, sekali gus mengaktifkan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA).
Beliau turut memaklumkan hasrat untuk melawat Texas pada hari Jumaat.
“Ia satu tragedi yang amat dahsyat,” kata Trump dari New Jersey. – Agensi
















