DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di Rio De Janeiro, Brazil. - Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BRICS mesti bangkit sebagai suara keadilan sejagat, menolak penindasan dan memartabat maruah insan.

Menurut Perdana Menteri, ia selari dengan gesaan Malaysia supaya dunia supaya tidak terus membisu terhadap jenayah kemanusiaan yang berlaku di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat Iran.

Menurut Anwar, perkara itu antara yang dibangkitkan beliau pada sesi intervensi pada hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di Rio De Janeiro, Brazil, semalam.

DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di Rio De Janeiro, Brazil. – Foto: FB Anwar Ibrahim

Sidang itu memberi fokus kepada memperkukuh multilateralisme, reformasi dalam sistem ekonomi dan kewangan global, serta tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang beretika.

Sementara itu, tambah Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia juga memperjuangkan agenda yang selari dengan aspirasi BRICS termasuk reformasi sistem perdagangan global yang lebih adil, terbuka dan berpaksikan pembangunan.

Menurutnya, Malaysia juga menyambut baik kenyataan BRICS yang menekankan tadbir urus AI berasaskan nilai etika dan kesejahteraan sejagat.

Malah, ujar beliau, Malaysia sendiri telah melancarkan Pelan Hala Tuju AI Negara serta Garis Panduan Tadbir Urus AI dan kini memimpin inisiatif penubuhan jaringan ASEAN AI bagi memperkukuh keupayaan, ketelusan dan piawaian serantau dalam teknologi canggih itu.

“Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan BRICS dan negara-negara rakan bagi membentuk sebuah sistem ekonomi global yang lebih saksama, persekitaran digital yang selamat dan diyakini serta multilateralisme yang benar-benar berfungsi demi masa depan bersama umat manusia,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, menurut Anwar, Malaysia berpendirian tegas bahawa masa depan dunia tidak harus dibelenggu oleh pertembungan blok atau perpecahan geopolitik.

Sebaliknya, ujar beliau, ia perlu dibentuk melalui semangat kerjasama, perkongsian kemakmuran dan komitmen kolektif terhadap masa depan digital yang adil, selamat dan inklusif untuk semua.

Tambahnya, beliau memandang serius senario pertembungan ‘geopolitics of tech’ atau teknologi berpaksikan kuasa geopolitik yang membawa risiko terhadap inovasi dan kestabilan bermasyarakat dan bernegara.

Ujarnya, multilateralisme kini bukan lagi satu pilihan, tetapi merupakan keperluan mutlak untuk menjamin kestabilan global, keadilan ekonomi dan kedaulatan negara-negara membangun agar tidak terus terpinggir dalam arus peralihan geopolitik dan teknologi.

“Dalam menghadapi realiti ini, Malaysia memilih jalan kerjasama yang berprinsip, bukan konfrontasi, selaras dengan prinsip keadilan, keterangkuman dan kedaulatan sejagat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast