GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Pakar perubatan menyifatkan adalah tidak wajar kaedah Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) iaitu langkah pencegahan jangkitan HIV ditawarkan kepada pelajar atau remaja bawah umur tanpa kebenaran ibu bapa.

Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, ibu bapa pelajar dan remaja bawah umur berhak mengetahui amalan anak-anak mereka lebih-lebih lagi dalam aktiviti yang menjurus kepada risiko jangkitan HIV.

Malah, jelasnya yang juga Profesor Perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), PrEP juga tidak wajar diberi kepada pengamal homoseksual yang aktif, kerana ia boleh menyebabkan ruang untuk mencegah aktiviti songsang itu tertutup.

Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar.

“Bagaimana galakan memberi PrEP dan tegahan maksiat boleh bersama-sama duduk dalam satu ayat? Di manakah ruang untuk diselit kata taubat?

“Kebanyakan yang menyokong PrEP ini tidak memahami konteks sebenar dan menganggap ia rawatan.

“Ia bukan “rawatan” kerana amalan homoseksual itu adalah “behaviour” yang boleh dicegah dan peringatan telah diberi berkali-kali dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW.

“PrEP seharusnya bersasar, diberi kepada isteri atau suami yang masih negatif HIV tetapi suami atau isteri mereka HIV positive. Ia sebagai profilaksis,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Pelbagai pihak sebelum ini melahirkan kebimbangan susulan pendedahan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, yang mana seramai 222 pelajar IPT dikesan menghidap jangkitan HIV seawal usia 18 hingga 19 tahun pada tahun lepas.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, KKM berdepan cabaran besar menyediakan akses ujian saringan kendiri bagi kes HIV kepada remaja di bawah umur kerana memerlukan kebenaran ibu bapa untuk menjalankan ujian dan mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Dr. Rafidah Hanim berpandangan, adalah lebih baik sekiranya tingkah laku homoseksualiti yang menjadi antara punca utama jangkitan HIV dalam kalangan remaja dibincangkan secara bersama antara ibu bapa, remaja dan doktor sama seperti penyakit-peyakit lain.

Ujarnya, urusan kesihatan harus melibatkan keluarga dan ibu bapa, apatah lagi jika melibatkan unsur moraliti.

“Anak-anak ini masih boleh dibentuk, bukan kita tergopoh-gapah memberi PrEP hanya untuk kelangsungan “homoseksualiti yang dikatakan selamat”.

“Apatah lagi para doktor tidak dibenarkan menyebut perkataan haram (rujuk garis panduan PrEP) kerana kononnya “judgemental”, jadi bagaimana para doktor menerapkan moraliti dan agama kepada anak-anak kita yang baru ingin mengenal dunia? Bantulah ibu bapa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast