Suspek wanita dan kekasihnya direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini.

ALOR GAJAH – Seorang wanita dan kekasihnya yang disyaki membunuh bayinya berusia 15 bulan dengan cara mendera mangsa malam tadi direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini.

Perintah reman terhadap suspek wanita, penganggur berusia 24 tahun dan kekasihnya, pekerja kedai pancing berumur 20 tahun sehingga 13 Julai ini dikeluarkan Majistret Dr. Teoh Shu Yee bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 9.10 pagi sebelum keluar sejam kemudian diiringi pegawai penyiasat dan anggota polis.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan seorang bayi perempuan berusia 15 bulan maut dipercayai dibunuh kedua-dua suspek dengan kesan kecederaan di lubang dubur di sebuah premis kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang, di sini malam tadi.

Kejadian terbongkar kira-kira 11 malam tadi selepas pihak Hospital Tampin menerima bayi berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dihantar wanita berkenaan dan kekasihnya itu.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan doktor turut turut mendapati terdapat kesan lebam pada perut dan belakang badan bayi berkenaan selain kecederaan pada lubang dubur sebelum doktor membuat laporan polis.

“Siasatan awal mendapati ibu mangsa berusia 24 tahun telah membawa anak tunggalnya itu dari Kampung Anak Air Durian Daun, Tampin ke tempat kerja teman lelakinya berusia 20 tahun di Bandar Satelit, Pulau Sebang di sini kira-kira 6.30 petang semalam.

“Ibunya kemudian keluar untuk membungkus makanan meninggalkan kekasihnya itu yang juga seorang pekerja kedai pancing dengan anak tunggalnya itu hasil perkahwinan terdahulu,” katanya.

Menurutnya, sebaik pulang ke kedai wanita itu memberitahu telah menidurkan bayinya pada pukul 10 malam sementaranya teman lelakinya menguruskan kedai.

“Bagaimanapun, suspek yang sudah bercerai tahun lalu mendakwa anaknya itu tidak sedarkan diri ketika dia mengejutnya pada pukul 10.30 malam untuk pulang ke rumah mereka di Tampin.

“Wanita itu dan kekasihnya kemudian telah membawa anaknya itu ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan pada pukul 11 malam tadi,” katanya.

Tambahnya, doktor yang melakukan pemeriksaan kemudian mengesahkan kecederaan dialami bayi dan telah meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas itu.

Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk proses bedah siasat sebelum polis menahan pasangan kekasih itu awal pagi tadi dalam dua serbuan berasingan.

Semakan lanjut mendapati, suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes judi manakala wanita tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan. – MalaysiaGazette

Ibu dan kekasih pemuzik ditahan disyaki bunuh bayi 15 bulan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast