FADHLINA Sidek bersama Mohd Azam Ahmad. - Foto: FB Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan lantikan Dr. Mohd Azam Ahmad sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu adalah pilihan tepat.

Berbekalkan lebih 36 tahun dalam dunia pendidikan, pengetahuan serta pengalaman luas Mohd Azam sebagai seorang guru dan pemimpin di pelbagai peringkat dalah aset berharga untuk memimpin pendidikan negara ke arah kecemerlangan.

Menurutnya, Mohd Azam pernah berkhidmat sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Jasin; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka; Pengarah Peperiksaan; Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme).

“Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Dr. Mohd Azam dan pasukan untuk memberikan tumpuan kepada beberapa agenda penting terutamanya pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dan pelan pembangunan pendidikan negara yang baharu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan pelantikan Mohd Azam sebagai Ketua Pengarah Pendidikan baharu berkuat kuasa hari ini.

Mohd Azam menggantikan Datuk Azman Adnan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang akan bersara wajib bermula 5 Julai lalu, selepas 35 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, pelantikan Mohd Azam mengundang kontroversi selepas dipertikai beberapa pihak yang menyifatkannya sebagai `hadiah menanti persaraan’ memandangkan beliau akan mencapai umur persaraan 60 tahun kira-kira dua tahun lagi. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast