Mahasiwa UM menanam pokok berembang dalam program Langkah Hijau 24/25.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 111 anak pokok berembang telah berjaya ditanam oleh 40 pelajar Universiti Malaya dalam satu program berimpak tinggi anjuran Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman (KK1) di Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan, baru-baru ini.

Program yang dinamakan Langkah Hijau 24/25 ini merupakan inisiatif tahunan di bawah Projek ASTARCares yang menyasarkan usaha kesedaran dan tindakan praktikal terhadap isu kelestarian alam sekitar.

Menggabungkan elemen pendidikan, tindakan lapangan dan kerjasama komuniti, program ini bertujuan mendidik warga universiti tentang peranan penting yang dimainkan oleh ekosistem hutan paya bakau — khususnya pokok berembang (Sonneratia caseolaris) dalam menjaga keseimbangan alam dan kelangsungan hidup spesies unik seperti kelip-kelip Pteroptyx tener.

pengarah projek, Mohd Izwan Abdul Razik program ini bukan hanya menanam pokok, tetapi menyemai rasa tanggungjawab sebagai warga bumi.

“Ini bukan program sehari, tetapi usaha jangka panjang,” ujar beliau.

Para peserta yang terlibat dalam program Langkah Hijau 24/25.

Peserta kemudiannya menaiki bas universiti ke Kampung Kuantan, lokasi ekopelancongan yang terkenal dengan kelip-kelipnya. Di sini, mereka didedahkan kepada realiti hubungan erat antara manusia, alam dan kelangsungan biodiversiti.

Para peserta yang disambut oleh wakil komuniti dan koordinator taman, Masbudi Abdul Malek setibanya di Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan diterangkan bagaimana spesies kelip-kelip yang menjadi daya tarikan utama taman ini amat bergantung kepada kewujudan pokok berembang.

“Pokok ini bukan sahaja tempat hinggap dan mencari makanan bagi kelip-kelip, malah berperanan sebagai penapis pencemaran dan penghalang hakisan di tebing sungai. Apabilapokok ini pupus, kelip-kelip juga lenyap,” jelas beliau yang telah lebih sedekad terlibat dalam usaha pemuliharaan taman ini.

Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan merupakan antara kawasan konservasi semula jadi yang semakin terpinggir akibat pembangunan tidak lestari dan pencemaran air, justeru, program ini membawa harapan baharu dalam usaha mengimbangi pembangunan dan pemeliharaan warisan alam.

Aktiviti utama dimulakan dengan penyiraman dan penanaman 111 anak pokok berembang oleh peserta di sekitar pesisir Sungai Selangor.

Proses ini dilakukan secara berpasukan, dengan setiap kumpulan bertanggungjawab ke atas kawasan tertentu.

Selain menanam, peserta turut membantu membersihkan kawasan sekitar, termasuk membuang pokok yang rosak atau berpenyakit.

Peserta juga diberikan tunjuk ajar secara langsung tentang teknik penanaman lestari dan kepentingan mengurus anak pokok dengan teliti agar dapat hidup subur dan memberi impak jangka panjang.

Program Langkah Hijau 2025 telah membuktikan mahasiswa mampu menjadi agen perubahan dalam usaha melestarikan alam sekitar.

Melalui pendekatan yang menggabungkan teori, amali dan kolaborasi komuniti, inisiatif ini menyumbang secara langsung kepada pemeliharaan ekosistem tempatan serta memperkukuh kesedaran generasi muda terhadap isu perubahan iklim dan biodiversiti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast