KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengukuhkan lagi komitmen dalam memperluaskan akses rawatan kanser menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) fasa ketiga bersama IHH Healthcare Berhad.
Ia juga dengan tambahan 500 penerima manfaat menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,500 pesakit sejak program ini dimulakan pada 2022.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama berkenaan membolehkan pesakit kanser menerima rawatan radioterapi dan radiosurgeri berkualiti tinggi secara percuma.
Ia melibatkan penggunaan teknologi terkini seperti Gamma Knife dan Linear Accelerator di lapan fasiliti IHH terlibat dengan sokongan kepakaran pakar bedah saraf KKM.
“Ini bukan sekadar kerjasama tetapi satu bentuk diplomasi kesihatan yang memberi impak nyata kepada rakyat. Ia melambangkan bagaimana sektor awam dan swasta boleh berganding bahu dalam sistem kesihatan yang inklusif dan lestari,” katanya pada majlis menandatangani MoU tersebut di sini petang ini.

Dr Dzulkefly berkata, antara jenis kanser yang dirawat termasuk tumor otak, kanser kepala dan leher, paru-paru, payudara, kolon serta beberapa bentuk kanser darah.
Turut dimaklumkan, MoU yang sama turut diselaraskan dengan Pelan Strategik Kawalan Kanser Kebangsaan (NSPCC) yang menekankan pengesanan awal, rawatan berkesan serta penjagaan pesakit secara bersepadu.
Dalam pada itu, menurut Dr Dzulkefly, KKM turut melaksanakan pendekatan pembiayaan baharu melalui sistem Diagnosis-Related Group (DRG) selaras dengan pelancaran produk insurans asas kesihatan nasional yang dikenali sebagai MHIT (Medical Health Insurance Takaful).
“Sebelum ini, kita bayar berdasarkan perkhidmatan. Kini melalui DRG, kita bayar berdasarkan keputusan rawatan. Ini menggalakkan kecekapan dan mengurangkan komplikasi. MHIT dan DRG adalah satu ekosistem yang dirancang secara sistematik untuk menangani inflasi kos perubatan,” katanya.
Untuk makluman, MHIT adalah produk sukarela yang dibangunkan hasil kerjasama antara KKM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan dengan pilihan pembayaran menerusi simpanan peribadi atau Akaun 2 KWSP.
Sementara itu, mengulas mengenai kebimbangan terhadap Program Rakan KKM, Dr Dzulkefly menegaskan ia bukan bentuk penswastaan seperti didakwa sesetengah pihak.
“Rakan KKM bukan program penswastaan. Ia tidak menggunakan dana swasta sebaliknya dibiayai sepenuhnya oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang percaya kepada sistem kesihatan awam kita.
“Rakan KKM bertujuan mempercepatkan prosedur rawatan bagi kes-kes elektif seperti pembedahan terjadual tanpa menjejaskan keutamaan untuk kes kecemasan yang terus mendapat layanan sama rata tanpa mengira latar belakang pesakit.
“Pendapatan yang dijana menerusi Rakan KKM akan disalurkan semula kepada fasiliti kesihatan kerajaan dan digunakan untuk meningkatkan kebajikan doktor pakar, pembantu perubatan dan petugas barisan hadapan.
“Ini antara usaha kita untuk mengurangkan penghijrahan tenaga mahir ke sektor swasta,” Jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut memuji kerjasama IHH dan rakan strategik sektor swasta lain yang menyokong penuh pelaksanaan DRG dan pembaharuan dalam sistem pembiayaan kesihatan negara.
“Saya tahu pasti ada cabaran dan kekangan tetapi ini bukan tentang menolak perubahan, ini tentang menyesuaikan diri demi sistem lebih efisien dan berkesan.
“Kita sedang membina ekosistem kesihatan awam yang lebih lestari,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















