KUALA LUMPUR – Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Sergio Aguero sah menyertai kelab Thailand, Kanchanaburi Power sekali gus menamatkan beberapa spekulasi sebelum ini dengan beberapa pasukan Liga Malaysia.
Kehadiran pemain kelahiran Argentina itu diumumkan sendiri kelab berkenaan menerusi laman sosial mereka.
Menerusi hantaran di media sosial mereka, Kanchanaburi Power mengesahkan perjanjian sudah dicapai bersama Aguero yang akan menjadi senjata baharu bagi kelab itu untuk bersaing dalam Liga 1 Thai.
Kehadiran Aguero dijangka memberi impak besar kepada skuad bergelar The Iron Horse itu yang mahu memastikan mereka mampu bersaing di pentas tertinggi bola sepak Thailand musim ini.
Aguero sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Liga M iaitu Kelantan Darul Naim (KDN) dan pendatang baharu Liga Super, DPMM FC.















