KUALA LUMPUR – Kira-kira 87 pentadbir masjid di seluruh Selangor berdepan pemecatan selepas didapati bersekongkol membenarkan penceramah tidak bertauliah menyampaikan ceramah agama di negeri itu.
Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah, tindakan tegas itu diambil selaras dengan ketetapan kerajaan negeri yang tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran syarat tauliah dan peraturan masjid.
“Saya sudah beri peringatan berkali-kali. Kerajaan negeri kena bertegas. Pentadbir yang tidak menguatkuasakan peraturan masjid akan ditamatkan perkhidmatan.
“Ini kerana kita meletakkan model masjid pengurusan sebagai pusat ibadah yang terkawal,” katanya kepada media hari ini.
Katanya lagi, tindakan bukan sahaja tertumpu kepada penceramah tidak bertauliah sebaliknya turut melibatkan pentadbir masjid yang gagal menghalang kemasukan penceramah yang melanggar syarat tauliah.
“Kita ada dua isu. Pertama, penceramah yang tidak bertauliah memang tidak boleh masuk. Kedua, kalau pentadbir sendiri yang beri laluan, maka pentadbir itu kena ditukar serta-merta,” tegas beliau.
Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor telah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Selangor) (Pindaan) 2025 yang antara lain bertujuan memperkukuh kedudukan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), menangani penyebaran ajaran bertentangan, serta menjaga maslahat umum berlandaskan maqasid syariah.
Mengulas lanjut, Dr Fahmi berkata, kerajaan negeri akan menaik taraf 20 lagi masjid menjadi masjid pengurusan bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan enakmen yang telah dipinda.
“Senarai masjid terlibat sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan tidak lama lagi. Ia merupakan tambahan kepada 87 masjid pengurusan yang sedia ada.
“Saya nyatakan dengan jelas dalam sidang DUN, setelah RUU ini diluluskan, mana-mana pemegang jawatan utama dalam institusi agama Islam negeri termasuk penceramah dan pentadbir masjid wajib berpegang kepada pegangan ASWJ. Penguatkuasaan akan dibuat dari atas hingga ke peringkat akar umbi,” katanya. -MalaysiaGazette
Kerajaan Negeri tidak akan kompromi penyalahgunaan tauliah agama di Selangor – Fahmi Ngah















