Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bercakap kepada media mengenai isu institusi kehakiman, reformasi dan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara ketika di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JULAI 2025.

PUCHONG – Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu menyembunyikan apa-apa yang berkaitan dalam isu pelantikan badan kehakiman.

Sebaliknya, perdana menteri perlu menjelaskan keadaan sebenar berhubung perkara itu kepada rakyat.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, isu pelantikan ketua hakim negara jika dibiarkan berlarutan tanpa jawapan jelas akan mencetuskan lebih banyak spekulasi dan persepsi negatif terhadap sistem kehakiman.

“Hanya segelintir daripada 34 juta rakyat Malaysia yang tahu hal sebenar. Tapi, kesannya besar kerana semakin lama kita tangguh, semakin banyak spekulasi, khabar angin dan tuduhan yang tersebar.

“Yang akan bayar harga paling mahal adalah kebebasan dan integriti kehakiman,” katanya pada sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Puchong Jaya di sini, hari ini.

Menurut Rafizi lagi, rakyat tidak boleh dipersalahkan sekiranya mula membuat andaian sendiri kerana berdasarkan fakta-fakta sedia ada, banyak persoalan yang belum dijawab.

“Ada laporan polis, pemanggilan ahli JAC (Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman) secara tiba-tiba tanpa notis, isu pencalonan yang lambat atau tidak diambil tindakan hingga berlaku kekosongan. Maka, tidak hairanlah jika rakyat mula berkata itu akan jadi bahan serangan terhadap kerajaan,” katanya.

Tambahnya, langkah terbaik adalah membawa isu berkenaan ke Parlimen dan memberi penjelasan secara terbuka kepada rakyat supaya penilaian dapat dibuat berdasarkan fakta, bukan persepsi.

“PM dah bawa Akta Perkhidmatan Parlimen, PM Question Time, jadi guna platform Parlimen untuk jawab persoalan ini adalah cara terbaik kerana ini isu berkepentingan nasional,” tambah beliau.

Beliau turut menempelak beberapa wartawan yang cuba memutarbelit kenyataan dan menegaskan, bahawa kenyataan yang dibuat adalah berdasarkan fakta yang ada sahaja.

“Kita tak tuduh apa-apa di luar fakta. Yang kita minta hanyalah perkara ini tidak digantung tanpa penyelesaian. Bila maklumat sudah tersebar, ia akan undang lebih banyak spekulasi dan boleh jejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman,” ujarnya.

Katanya lagi, beliau sendiri mahu mengetahui sama ada benar berlaku campur tangan atau tidak, tetapi tidak berada dalam posisi untuk mendapatkan maklumat tersebut kerana tidak terlibat dalam JAC mahupun perbincangan Kabinet.

“Benda macam ini tidak dibincang dalam Kabinet. Jadi, ahli Kabinet pun tak tahu. Sebab itu, cara terbaik untuk bersihkan keadaan ialah melalui RCI dan prosiding Parlimen,” jelas beliau.

Dalam pada itu beliau berkata, sekiranya perkara tersebut terus dibiarkan, beliau bimbang akan wujud tekanan berterusan dari luar termasuk sidang media mingguan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, kenyataan daripada hakim, peguam serta lebih banyak laporan polis dan kebocoran maklumat.

“Kalau kerajaan tidak bertindak awal, rakyat akan buat kesimpulan sendiri yang mungkin betul, mungkin juga tidak,” jelasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast