Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli selepas sidang media mengenai isu institusi kehakiman, reformasi dan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara ketika di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JULAI 2025.

SESUATU yang sepatutnya menjadi sidang akhbar tergempar oleh bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini sebaliknya menjadi bahan lelucon dan ditertawakan banyak pihak di laman sosial.

Lebih mengecewakan, isu yang dibangkitkan itu pula bukan kebimbangan baharu sebaliknya sudah diperkatakan banyak pihak sebelum ini sama ada pembangkang atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mungkin apa yang boleh diambil daripada sidang akhbar Rafizi serta enam Ahli Parlimen PKR lain itu adalah dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman ketika ini benar-benar berada pada satu tahap yang serius dan membimbangkan.

Ia dapat dilihat apabila ahli Parlimen dalam blok kerajaan sendiri walaupun mereka ketika ini dilabel kumpulan berhaluan kiri turut senada dengan suara-suara yang mempersoalkan berhubung perkara itu.

Bagi Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sidang akhbar Rafizi bersama beberapa ahli Parlimen PKR lain pagi tadi disifatkan tidak lebih sekadar gimik politik murahan oleh pihak yang tidak lagi sealiran dengan Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Katanya, tiada apa yang baharu daripada sidang akhbar itu melainkan pengulangan kepada perkara-perkara yang telah diperkatakan oleh pengkritik dan pemimpin Perikatan Nasional (PN) sejak beberapa minggu lalu.

“Tiada pengumuman yang menggemparkan, hanya suara kritikan dan penentangan yang lemah terhadap kerajaan PH-BN dan PM10.

“Malah kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin pembangkang dan pengkritik-pengkritik kerajaan terhadap Anwar adalah jauh lebih keras lagi,” katanya.

Sebaliknya, tambah Tun Faisal, Rafizi dan pasukannya  sepatutnya lebih keras dan berani dalam penentangan mereka terhadap isu tersebut seperti yang pernah dibuat beliau bersama kumpulannya sewaktu menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi suatu ketika dulu.

Perkara sama turut disuarakan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali yang turut mempersoalkan mengapa baru hari ini Rafizi membawa kumpulannya itu membangkitkan perkara berhubung krisis kehakiman tersebut.

Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali

Sedangkan, ujarnya, isu itu telah lama menjadi kebimbangan banyak pihak iaitu sebelum Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad tewas dalam pemilihan PKR dan meletakkan jawatan dalam Kabinet.

“Dimanakah suara-suara sembilan ahli Parlimen PKR pada waktu itu? Isu ini isu nasional. Isu ini mesti disambut oleh seluruh ahli Parlimen. Ia bukan milik blok pembangkang sahaja.

“Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman telah lahir kebimbangan ini. Integriti Kehakiman amat penting untuk keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Rafique berkata, punca utama kepada permasalahan yang dibangkitkan Rafizi dan kumpulannya itu adalah kegagalan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Sehubungan itu beliau mempersoalkan sama ada Rafizi dan kumpulan ahli Parlimen PKR berkenaan berani mendesak Anwar meletak jawatan sekali gus menyelamatkan institusi kehakiman negara tersebut.

Awal hari ini, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan serta tujuh lagi Ahli Parlimen dalam sidang akhbar bersama mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Mereka turut membangkitkan berkenaan dakwaan seperti pencalonan hakim yang tidak diangkat; pelantikan utama yang tergendala dan prosedur mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang dipersoalkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast