Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuan orang kurang upaya (OKU) palsi serebrum berusia sembilan tahun sehingga mangsa maut, sejak April lalu.

MELAKA – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuan orang kurang upaya (OKU) palsi serebrum berusia sembilan tahun sehingga mangsa maut, sejak April lalu.

Tertuduh, Manuel Pangawat, 36, yang berasal dari Sabah dan Easta Masa Pengala, 40, warga Indonesia, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan Rutnaomi Renny, 9 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan antara penghujung April 2025 sehingga 23 Jun 2025 di sebuah rumah di Jalan Kota Laksamana 1/5, Taman Kota Laksamana dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan jaminan setelah mengambil kira kematian mangsa, selain kanak-kanak itu adalah anak kandung tertuduh wanita hasil perkahwinannya sebelum ini.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pihaknya mencadangkan jaminan RM50,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh berserta syarat tambahan.

Sementara itu, Manuel yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dibenarkan dengan alasan dia perlu bekerja bagi melangsaikan hutang.

Tertuduh wanita pula memberitahu mahkamah jenazah anaknya belum dikebumikan dan masih di Jabatan Forensik Hospital Melaka.

Tambahnya, dia juga terpaksa meminta adik sepupunya untuk menjaga anak kedua mereka yang berusia tiga tahun.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh lelaki diikat jamin sebanyak RM15,000, manakala isterinya RM20,000.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula 4 Ogos depan bagi serahan laporan bedah siasat, laporan kimia serta lantikan peguam.

MalaysiaGazette bulan lalu melaporkan kejadian menyayat hati itu berlaku pada pukul 9.45 pagi 23 Jun selepas pihak polis menerima panggilan daripada doktor sebuah hospital swasta di Banda Hilir.

Sumber berkata, doktor memaklumkan terdapat kesan disyaki didera selepas mangsa dihantar bapa tirinya yang berasal dari Sabah dan bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk mendapatkan rawatan.

Doktor yang memeriksa mendapati mangsa mengalami patah kaki serta kesan lembam di kepala dan badan.

Pesakit kemudian meninggal dunia di wad kecemasan hospital kira-kira pukul 9.45 pagi sebelum polis turut menahan ibunya yang merupakan warga Indonesia. – MalaysiaGazette

 

Ibu kandung, bapa tiri kanak-kanak OKU disyaki didera hingga mati direman 7 hari

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast