ISKANDAR PUTERI – Tindakan seorang lelaki menendang sebuah kereta dan menunjukkan isyarat jari tengah semasa berselisih faham membawa padah apabila ditahan polis.
Kejadian di kawasan lebuh raya di Gelang Patah itu berlaku malam kelmarin melibatkan dua lelaki dan seorang daripadanya di bawah pengaruh dadah.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, kejadian berlaku dalam satu perselisihan faham antara dua lelaki tempatan iaitu suspek yang berusia 24 tahun dan mangsa berumur 20 tahun.
“Kejadian berpunca daripada perselisihan faham apabila kereta dipandu suspek telah melanggar kenderaan pengadu dari arah belakang.
“Menurut laporan dibuat pengadu pukul 8.37 malam kelmarin, kenderaannnya ditendang oleh suspek dan suspek turut menunjukkan isyarat lucah jari tengah,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu pihak polis menahan suspek di tepi jalan kawasan Gelang Patah pada hari yang sama.
Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau namun hasil saringan awal air kencing mendapatinya positif dadah.
Kumarasan memberitahu, suspek ditahan reman selama empat hari bermula hai ini dan kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat, jika sabit kesalahan boleh dihukum di penjara satu hingga lima tahun atau dengan denda atau keduanya.
Suspek turut disiasat bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM100.
“Pada masa sama juga disiasat bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun,” ujarnya.
Terdahulu tular video berdurasi kira-kira 21 saat memaparkan seorang pemuda beberapa kali menendang pintu sebuah kenderaan. – MalaysiaGazette
















