Dua remaja ditahan selepas mencuri sebuah motosikal di kawasan perumahan bertingkat di Majidee, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Polis menahan dua remaja awal pagi ini selepas didapati mencuri sebuah motosikal di kawasan perumahan bertingkat di Majidee di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kes kecurian motosikal itu daripada mangsa Sabtu lalu.

Menurutnya, pengadu mendakwa motosikal itu dicuri pada waktu malam dan kali terakhir dilihat dalam keadaan berkunci di tempat letak kenderaan.

“Susulan laporan polis itu, satu operasi Op Lejang dilancarkan oleh Unit Rondaan Sektor (URS) Balai Polis Majidee pada pukul 1 pagi tadi.

“Pasukan serbuan kemudian menemui dua remaja sedang menolak sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan di kawasan Persiaran Southkey di sini.

“Hasil pemeriksaan mendapati motosikal itu tidak mempunyai kunci pada suis dan masih dilaporkan hilang,” katanya menerusi kenyataan akhbar.

Katanya, pihak polis kemudian menahan dua remaja lelaki berusia 15 tahun itu selepas mengesyaki mereka terbabit dalam kes curi motosikal.

Menurut Raub, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek masih bersekolah, manakala seorang lagi tidak bersekolah.

“Kedua-dua suspek mengaku menolak motosikal itu dari lokasi kes dan menyembunyikannya dalam semak berhampiran sebelum cuba memindahkannya ke tempat lain,” ujarnya.

Seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah curi motosikal.

“Mereka turut mengaku terbabit dalam satu kes pecah masuk sebuah sekolah agama di daerah ini pada 23 Jun lalu,” katanya.

Raub berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua remaja itu mendapati mereka negatif dadah.

Katanya, dua suspek berkenaan kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan.

Pada masa sama, Raub berkata, pihaknya mengambil pendirian tegas terhadap sebarang jenayah yang membabitkan golongan remaja.

Tegasnya, penglibatan awal remaja dalam aktiviti jenayah boleh menjadi titik mula kepada masalah yang lebih besar sekiranya tidak dibendung.

“Ibu bapa, penjaga dan masyarakat umum dinasihatkan supaya lebih prihatin terhadap pergaulan dan pergerakan anak-anak.

“Kami juga ingin mengingatkan orang ramai bahawa unuk meningkatkan keselamatan kemderaan dengan kunci tambahan dan melaporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast