KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi amaran yang dunia kini sedang berdepan ancaman nuklear yang jauh lebih kompleks berbanding era Perang Dingin.
Kali ini ancaman hasil gabungan antara kemajuan teknologi moden serta kegagalan sistem kawalan senjata antarabangsa, katanya.
Dalam ucapan pembukaannya ketika mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM ke-58), Mohamad menyifatkan era masa kini sebagai zaman paling berbahaya dalam sejarah moden.
Ia apabila senjata pemusnah besar-besaran dan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum serta peperangan siber wujud dalam satu ekosistem yang mudah mencetus konflik global.
“Zaman Perang Dingin sudah berakhir tetapi senjata nuklear hari ini lebih kompleks dan lebih berisiko. Kita kini berada dalam gabungan paling merbahaya antara era maklumat dan era nuklear,” katanya di hadapan delegasi ASEAN dan Timor-Leste di sini hari ini.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan sistem perlucutan senjata global yang semakin tidak berfungsi khususnya ketika dunia menyaksikan peperangan berpanjangan di Ukraine serta ketegangan berterusan di Timur Tengah.
“Di Ukraine, retorik kuasa nuklear membayangkan kemungkinan peningkatan yang menghapuskan usaha pelucutan senjata selama puluhan tahun.
“Manakala di Timur Tengah, tindakan Israel menyerang Iran tanpa provokasi adalah pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa,” tegasnya.
Mohamad turut memetik laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang menegaskan tiada bukti Iran menjalankan program senjata nuklear selain mengulangi peringatan tegas fasiliti nuklear tidak boleh diserang dalam apa jua keadaan kerana risikonya terhadap manusia dan alam sekitar adalah terlalu besar untuk ditanggung.
Mengakhiri ucapannya, Mohamad menyeru negara-negara ASEAN agar memperkukuh solidariti dan mengambil pendirian tegas dalam forum antarabangsa, menyampaikan mesej bahawa rantau ini tidak akan berdiam diri ketika dunia berada di ambang bahaya baharu.
“Kita mesti terus menjadi suara yang waras dalam sistem antarabangsa, dan mempertahankan prinsip undang-undang serta kemanusiaan tanpa takut atau tunduk,” tegasnya.-MalaysiaGazette
















