KUALA LUMPUR – Naib Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan menegaskan kepimpinan inklusif Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dipertahankan daripada sebarang cubaan sabotaj atau agenda tersembunyi.
Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata, seluruh jentera Bersekutu Bersatu Malaysia berdiri teguh menyokong Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu yang disifatkannya bukan hanya sebagai tokoh politik berwibawa tetapi negarawan yang membawa pendekatan politik pelbagai kaum yang inklusif.
“Tan Sri Muhyiddin membuka ruang kepada rakyat bukan Melayu untuk turut serta dalam perjuangan parti, bukan sebagai penumpang, tetapi sebagai rakan seperjuangan.
“Kebenaran Muhyiddin menolak kuasa dan jawatan demi prinsip sewaktu dipecat daripada UMNO kerana menegur skandal 1MDB serta pendiriannya yang tegas ketika menjawat jawatan Perdana Menteri tanpa tunduk kepada tekanan elit politik membuktikan integriti beliau sebagai pemimpin.
“Beliau satu-satunya pemimpin dalam sejarah moden Malaysia yang tidak goyah demi kedudukan. Beliau menolak deal politic demi kepentingan peribadi dan tetap membela rakyat dalam keadaan sukar.
“Inilah kepimpinan yang tidak boleh diganti begitu sahaja,” katanya hari ini.
Sanjeevan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu mengulas laporan media Bersatu Bahagian Port Dickson telah meluluskan satu usul mencadangkan supaya Muhyiddin memainkan peranan sebagai penasihat parti manakala jawatan Presiden diserahkan kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Usul itu telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan ahli dan pemerhati politik termasuk tuduhan bahawa ia didalangi oleh kumpulan tertentu yang tidak sabar menantikan peralihan kuasa dalam parti.
Mengulas lanjut, beliau berkata, di bawah kepimpinan Muhyiddin telah menunjukkan bahawa perpaduan bukan sekadar slogan tetapi diterjemahkan melalui tindakan nyata dan prinsip yang teguh.
“Usaha membina negara memerlukan jiwa besar dan hati yang terbuka. Semua ini ada pada Tan Sri Muhyiddin maka kami dalam Bersekutu bersama Bersatu Negeri Sembilan akan terus mempertahankan kepimpinan beliau,” katanya.
Dalam pada itu, Sanjeevan juga menolak sebarang anggapan sayap Bersekutu hanyalah pelengkap semata-mata sebaliknya menegaskan mereka adalah komponen penting dalam memperkukuh hala tuju politik berbilang kaum dibawa parti itu. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Armada Bersatu pertahankan Muhyiddin, anggap usul Port Dickson sebagai publisiti murahan















