Tangkap layar menunjukkan lelaki tersebut menolak kuali dan memarahi peniaga makanan di New Lane, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung satu kejadian tular membabitkan seorang individu yang menimbulkan kekecohan di sebuah gerai makanan di New Lane, di sini, pada Sabtu lalu.

Timbalan Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun pada 6 Julai lalu berhubung kejadian berkenaan.

“Pengadu yang juga anak kepada pemilik gerai makanan terbabit memaklumkan bahawa insiden berlaku kira-kira jam 7 malam pada 5 Julai ketika dia dan ahli keluarganya sedang menjalankan perniagaan.

“Mereka telah diganggu oleh seorang lelaki tempatan yang bertindak secara agresif di kawasan gerai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati tiada sebarang kecederaan atau kerugian dilaporkan dalam kejadian itu.

“Susulan permohonan maaf daripada suspek, pengadu memaafkannya serta enggan meneruskan kes berkenaan.

”Sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (TTL),” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit tujuh saat memaparkan seorang lelaki bertindak memarahi dan menolak jatuh kuali masak seorang penjual makanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast