Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merancang untuk menangguhkan pelaksanaan kenaikan tarif air yang dicadangkan sekurang-kurangnya enam bulan, jika mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, langkah itu dijangka memberi implikasi kewangan sebanyak RM40 juta kepada negeri.

“Kita tidak berhasrat untuk melaksanakannya awal tahun depan, sebaliknya menyasar pertengahan tahun,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Program Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN) bernilai RM5 bilion oleh PBAPP, hari ini.

Beliau berkata, sukuk berasaskan struktur patuh syariah Wakalah itu diperkenalkan sebagai mekanisme pembiayaan alternatif bagi projek-projek infrastruktur air di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030).

“PBAPP kini mengambil pendekatan lebih bersepadu, bukan hanya bergantung kepada tarif air atau pinjaman bank semata-mata. Kita turut melihat kepada pembiayaan melalui kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan model bina, operasi dan pindah milik (BOT),” katanya.

Tambah beliau, antara projek terawal yang akan dibiayai melalui program sukuk ini ialah pembinaan Loji Rawatan Air di Empangan Mengkuang.

Katanya, walaupun program IMTN ini mempunyai had siling sebanyak RM5 bilion, PBAPP tidak akan membuat terbitan penuh dalam tempoh terdekat, sebaliknya berdasarkan keperluan semasa.

Projek yang dibangunkan dengan kerjasama Maybank Investment Bank dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd itu menerima penarafan kredit tertinggi AAA/Stabil daripada RAM Rating Services Berhad, manakala Rangka Kerja Kewangan Mampan PBAPP pula diberi penarafan Emas oleh RAM Sustainability Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast