Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa negara-negara pemilik senjata nuklear (NWS) tidak melengahkan pengiktirafan Asia Tenggara sebagai zon bebas senjata nuklear.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Asia Tenggara kekal sebagai satu-satunya zon bebas senjata nuklear di dunia yang belum diiktiraf oleh NWS melalui penandatanganan dan pengesahan protokol perjanjian Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

“Perjanjian SEANWFZ tidak boleh kekal sebagai dokumen perundangan tanpa tindakan. Ia mesti menjadi simbol komitmen hidup dan dinamik terhadap keamanan sejagat,” kata Mohamad.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap (SEANWFZ) yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM ke-58), di sini, hari ini.

Menurut Mohamad, ancaman yang dibawa oleh senjata nuklear terhadap penduduk dunia masih nyata dan tidak boleh dipandang ringan, terutamanya dalam lanskap geopolitik global yang semakin mencabar.

“Sebab itu, negara-negara anggota ASEAN perlu kekal bersatu dan teguh dalam usaha merealisasikan sebuah Asia Tenggara yang benar-benar bebas daripada sebarang bentuk senjata nuklear,” ujarnya.

Perjanjian SEANWFZ, juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok, ditandatangani pada Disember 1995 oleh kesemua 10 negara anggota ASEAN dan mula berkuat kuasa pada Mac 1997.

Di bawah protokol perjanjian itu, NWS dikehendaki menghormati status zon bebas senjata nuklear ASEAN, tidak melakukan sebarang tindakan yang melanggar perjanjian dan protokolnya.

Ia turut membabitkan tidak menggunakan atau mengancam untuk menggunakan senjata nuklear terhadap mana-mana negara anggota ASEAN dan tidak menggunakan atau mengancam penggunaan senjata nuklear dalam mana-mana kawasan di Asia Tenggara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast