Wakil CGM Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan wakil Palimer Issa Mkiki pada majlis menandatangi memorandum persefahaman (MoU) kerjasama pembangunan Gaza.

KUALA LUMPUR – Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan The Arab and International Organisation to Construct in Palestine (Palimar) bekerjasama dalam membangunkan semula Gaza.

Kedua-dua badan bukan kerajaan (NGO) itu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini menyaksikan komitmen awal CGM untuk menyalurkan dana sebanyak RM2.2 juta bagi memulakan fasa pertama projek pembangunan semula Gaza.

Dana itu menjadikan CGM sebagai NGO pertama dari Asia Tenggara yang bekerjasama secara rasmi dengan Palimar iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan antarabangsa yang terkenal dengan kepakaran dalam pembangunan terancang di Semenanjung Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, kerjasama berkenaan membuka lembaran baharu dalam usaha kemanusiaan yang lebih strategik, mampan dan berskala besar di wilayah Gaza.

“Ini merupakan detik penting bukan sahaja buat CGM, tetapi buat seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap isu kemanusiaan di Palestin.

“Kita melangkah ke hadapan bukan sekadar menghantar bantuan, tetapi membina masa depan Gaza bersama rakan global yang berwibawa seperti Palimar,” ujar Muhammad Nadir.

MoU tersebut turut memperincikan fokus pembangunan awal merangkumi pembinaan penempatan semula untuk keluarga pelarian dan pembangunan sistem air bersih.

Ia turut memperincikan penyediaan jentera berat untuk pembersihan runtuhan dan jalan dan projek baik pulih pusat kesihatan serta infrastruktur asas yang diperlukan untuk memulihkan kehidupan masyarakat Gaza dalam jangka masa panjang.

Palimar, yang berpangkalan di Amman, Jordan merupakan antara NGO terbesar dan paling berpengaruh dalam sektor pembangunan antarabangsa, khususnya di wilayah bergolak seperti Gaza.

Wakil Palimar, Issa Mkiki berkata, dengan rekod lebih dua dekad pengalaman di lapangan, kolaborasi ini diyakini mampu membawa impak signifikan dari sudut pemulihan, ekonomi dan kesejahteraan sosial penduduk Gaza.

“Kami mengalu-alukan kehadiran Cinta Gaza Malaysia sebagai rakan strategik baharu. Komitmen mereka memberi harapan dan inspirasi bahawa solidariti global terhadap Gaza semakin berkembang,” katanya.

Langkah proaktif CGM ini turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara negara terkehadapan dalam solidariti antarabangsa terhadap Palestin, bukan sekadar melalui suara diplomasi, tetapi melalui tindakan yang nyata dan terancang.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast