KUALA LUMPUR – Ketika rantau ini menghitung hari menuju Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober nanti, Malaysia berada di barisan hadapan mencorakkan lembaran baharu hak asasi manusia di Asia Tenggara.
Dua deklarasi penting dijangka dimuktamadkan bukan sekadar simbol komitmen serantau, tetapi satu langkah signifikan yang sekali gus bakal mencatat sejarah baharu bagi rantau Asia Tenggara di bawah kepengerusian Malaysia.
Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Edmund Bon Tai Soon menyifatkan usaha itu sebagai pencapaian luar biasa yang akan meletakkan hak rakyat sebagai keutamaan ASEAN.
“Jika kita berjaya memuktamadkan deklarasi ini dalam sidang kemuncak Oktober nanti, ia bukan sahaja sejarah bagi AICHR, tetapi juga untuk ASEAN.
“Buat kali pertama dalam 13 tahun, dua deklarasi hak asasi akan diterima pakai dalam tahun yang sama,” katanya selepas Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Wakil-Wakil AICHR di sini semalam.
Deklarasi pertama, iaitu ‘Deklarasi ASEAN mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan’ adalah hasil rundingan selama dua tahun dan bakal menjadi dokumen penting dalam melindungi hak rakyat terhadap alam sekitar.
Ia memperincikan hak kepada penyertaan awam dalam isu-isu berkaitan persekitaran, hak mendapatkan maklumat yang telus, serta akses kepada keadilan dalam kes pencemaran atau bencana alam.
Deklarasi kedua, ‘Deklarasi mengenai Pemajuan Hak kepada Pembangunan dan Keamanan’ pula menekankan kepentingan pembangunan menyeluruh yang merangkumi bukan hanya aspek ekonomi, tetapi juga dimensi politik, sosial dan budaya.
Ini bertujuan mengangkat prinsip pembangunan inklusif dan aman dalam landskap serantau yang semakin mencabar.
Untuk makluman, di bawah kepemimpinan Malaysia, AICHR turut memperkenalkan satu lagi inisiatif penting membangunkan kerangka tetap ASEAN atau template bersama untuk menangani krisis dan konflik serantau, termasuk situasi berpanjangan di Myanmar.
“Kita tidak mahu ASEAN bertindak mengikut budi bicara setiap kali krisis berlaku. Sudah tiba masanya kita mempunyai panduan bersama untuk bertindak pantas dan selaras,” jelas Edmund.
Katanya lagi, kepimpinan Malaysia dalam AICHR tahun ini memperlihatkan pendekatan yang lebih progresif dan berani membuktikan bahawa prinsip tidak harus dikorbankan demi keselesaan politik serantau.
“Ini adalah masanya untuk memastikan hak asasi tidak kekal di atas kertas semata-mata, tetapi menjadi rujukan dan pelindung sebenar kepada rakyat.,”
Jika dua deklarasi ini berjaya dimuktamadkan, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kelak akan dikenang sebagai titik tolak kepada satu era baharu hak asasi di Asia Tenggara dan Malaysia sebagai pemegang panji utama dalam usaha tersebut. -MalaysiaGazette
















