Mohd Jafni mempengerusikan sesi libat urus bersama PLANMalaysia Johor berkenaan perancangan dan permohonan bajet pembangunan tahun 2026 di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan mempercepat kelulusan projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dengan memastikan setiap cadangan diteliti secara menyeluruh agar benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pendekatan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Planning Design Review Community (PDRC).

“Setiap kelulusan dan pindaan disemak rapi supaya berpaksikan keperluan sebenar rakyat Johor. Sehingga kini sebanyak 31 sesi PDRC telah diadakan melibatkan 127 pemaju dan 159 projek di bawah seliaan 16 PBT di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Jafni memberitahu, daripada jumlah itu, sebanyak 27,762 unit RMMJ telah disasarkan untuk dilaksanakan melalui mekanisme PDRC.

Langkah tersebut selaras dengan sasaran kerajaan untuk menyiapkan sekurang-kurangnya 30,000 unit menjelang 2026 dan 100,000 unit menjelang 2030.

“Projek-projek RMMJ kini dilengkapi dengan kemudahan seperti surau, dewan dan taman permainan, selain mengambil kira keperluan sosial dan spiritual penduduk seperti pemindahan lokasi surau lebih dekat dengan kediaman,” katanya.

Selain reka bentuk fizikal katanya, aspek prasarana awam, kepadatan pembangunan dan pematuhan terhadap Dasar RMMJ 2023 turut diperhalusi bagi menjamin mutu projek yang disiapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast