Pensyarah dan pakar Zoologi di Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah.

KUALA LUMPUR – Kelawar boleh menyumbang kepada keseimbangan semula jadi dalam ekosistem pertanian dengan mengawal populasi serangga perosak, sekaligus meningkatkan hasil tanaman tanpa kebergantungan kepada racun kimia.

Pensyarah dan Pakar Zoologi Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah berkata, kehadiran kelawar memainkan peranan penting sebagai agen kawalan biologi semula jadi, terutamanya dalam mengawal populasi serangga perosak di kawasan pertanian.

“Kebanyakan petani menggunakan racun serangga kimia dalam sektor pertanian bagi mengawal serangga perosak namun penggunaannya kemungkinan boleh menjejaskan kesihatan manusia”.

“Dengan adanya kelawar pemakan serangga, para petani boleh mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan bahan kimia supaya dapat melindungi hasil tanaman serta memastikan keselamatan manusia dan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, kelawar pemakan buah memainkan peranan penting dalam proses penyebaran benih tumbuhan termasuk ke kawasan baharu yang sukar dicapai oleh haiwan lain.

Proses ini menurut beliau membantu memperkayakan biodiversiti dan menyokong pembentukan struktur semula jadi ekosistem hutan.

Dr. Marina yang juga pakar ekologi dan pengurusan hidupan liar menjelaskan, kelawar pemakan buah ialah agen penyebaran benih yang sangat efisien kerana mampu terbang jauh dalam satu malam dengan membawa benih ke kawasan terbuka atau rosak yang memerlukan pemulihan.

Selain dikenali sebagai pemakan serangga dan buah, kelawar juga menyumbang kepada proses pendebungaan dengan memindahkan debunga dari satu bunga ke bunga lain ketika mencari nektar. Spesies kelawar pemakan nektar, seperti Eonycteris spelaea, memainkan peranan penting sebagai agen pendebungaan semula jadi bagi pelbagai tumbuhan tropika.

KELAWAR
Kelawar fitofagus yang memakan buah dan nektar.

Dr. Marina berkata, kelawar ini merupakan agen pendebungaan utama bagi tanaman tropika seperti durian dan petai yang mana bunganya berkembang pada waktu malam serta menghasilkan nektar yang menarik kelawar untuk mengunjunginya.

Tambah beliau, pemuliharaan habitat semula jadi kelawar amat penting bagi menjamin kesinambungan proses pendebungaan ini.

“Jika habitat mereka terganggu, populasi kelawar akan menurun dan menjejaskan keupayaan mereka untuk memainkan peranan ekologi mereka,” katanya.

Ujar beliau lagi, pemeliharaan kelawar bukan sahaja penting untuk alam, tetapi juga memberi pulangan jangka panjang dari segi ekonomi, pertanian dan kesejahteraan ekologi.

Masa depan kelestarian bergantung kepada sejauh mana manusia mampu menghargai dan melindungi peranan spesies unik seperti kelawar dalam rantaian ekosistem.

Di Malaysia sahaja, sebanyak 143 spesies kelawar telah direkodkan, menjadikan negara ini antara kawasan paling kaya dengan kepelbagaian spesies kelawar di Asia Tenggara. Walaupun sering disalah anggap sebagai haiwan menakutkan atau pembawa penyakit, kelawar sebenarnya memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem.

Malaysia mempunyai dua jenis utama kelawar, iaitu kelawar fitofagus (yang memakan buah dan nektar) dan kelawar insektivor (yang memakan serangga). Kehadiran kedua-dua jenis kelawar ini memberi manfaat besar kepada manusia, khususnya dalam bidang pertanian dan pemuliharaan alam semula jadi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast