[ARKIB] Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan keyakinan Malaysia bersedia memimpin ASEAN sebagai Pengerusi 2025 dengan visi berteraskan prinsip keterangkuman dan kelestarian, menjamin masa depan Asia Tenggara yang lebih selamat, stabil dan saksama.

Berucap pada perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM ke-58) hari ini, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kehadiran beliau walaupun baru pulang dari lawatan rasmi ke Rio de Janeiro awal pagi.

“Saya tahu Perdana Menteri baru tiba dari Rio pada pukul 2 pagi tadi namun tetap hadir ke majlis ini. Ini mencerminkan komitmen tinggi Malaysia terhadap ASEAN,” katanya.

Mohamad berkata, setelah 58 tahun ditubuhkan, ASEAN telah melalui perjalanan panjang dan kini menjadi tonggak utama kepada kestabilan dan kerjasama serantau.

Bermula dengan lima negara pengasas melalui Deklarasi Bangkok 1967, ASEAN kini berperanan penting dalam membina jambatan di tengah dunia yang semakin terpecah.

“ASEAN lahir pada era Perang Dingin, ketika dunia dipenuhi konflik dan perpecahan. Namun pengasas kita memilih multilateralisme dan dialog dan hari ini, cabaran kita pula datang dalam bentuk perubahan iklim, teknologi yang memecahbelahkan masyarakat dan ketegangan geopolitik,” jelas beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan menteri luar bergambar pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 JULAI 2025.

Beliau berkata, persaingan kuasa besar kini membayangi rantau Asia Tenggara menjejaskan perdagangan multilateral terbuka selain memberi kesan kepada rantaian bekalan, keselamatan makanan serta pasaran serantau.

“Kita perlu menyesuaikan ASEAN dengan realiti baharu ini. Kita mesti mempertahankan semangat autonomi strategik dan tindakan kolektif.

“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan berpandukan Deklarasi Kuala Lumpur dan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang telah ditandatangani baru-baru ini. Wawasan 20 tahun itu menyasarkan ASEAN yang lebih inovatif, berdaya tahan dan berorientasikan rakyat.

“Kita akan memperkukuh keamanan, kestabilan, kemakmuran serantau dalam kerangka masa depan yang dipacu oleh nilai keterangkuman dan kelestarian,” katanya lagi.

Mohamad juga umum Forum Serantau ASEAN (ARF) akan dikekalkan sebagai platform utama dialog politik dan keselamatan serantau, manakala dua negara iaitu Algeria dan Uruguay akan menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) bersama ASEAN menandakan perluasan pengaruh ASEAN di luar rantau.

Pada Jumaat ini, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Keempat Kerjasama Negara-Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin sekaligus memperkukuh solidariti ASEAN terhadap rakyat Palestin.

“Kerja kita mewakili harapan dan masa depan hampir 700 juta penduduk ASEAN. ASEAN tidak pernah takut untuk berimpian besar dan detik ini milik kita,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast