KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki yang disyaki membunuh seorang penuntut wanita sebuah universiti swasta di Cyberjaya baru-baru ini akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, esok.
Selain itu, seorang remaja perempuan akan dituduh bersubahat membunuh di mahkamah sama manakala dua yang lain dibebaskan dengan jaminan bon Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan dijadikan saksi pendakwaan.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor pada hari ini.
Menurut beliau, arahan Timbalan Pendakwa Raya adalah untuk menuduh seorang suspek lelaki di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan seorang suspek perempuan didakwa di bawah Seksyen 109/302 Kanun Keseksaan kerana bersubahat.
“Manakala dua suspek yang lain dibebaskan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pada 24 Jun lalu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi Maniishapriet Kaur, 20, dari Sarawak, ditemui mati di unit kediaman kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan pada jam 10 pagi.
Mangsa yang dilaporkan tinggal seorang diri bagi menghadapi peperiksaan selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun.
Berikutan itu, empat suspek membabitkan seorang lelaki dan tiga perempuan berusia antara 19 hingga 20 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan
Norhizam berkata, di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan atau jika tidak gantung sampai mati tertuduh dipenarakan tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 kali.
Katanya, hukuman yang sama dikenakan bagi Seksyen 109/302 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette















