Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shamsul Nizam Khalil (kiri) memberikan penerangan kepada wakil Pusat Pemborong barangan runcit ketika hadir bagi membuat Pemantauan OPS KESAN 4.0 di Balaji Enterprise Sdn Bhd, Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan. Foto HARI ANGGARA, 9 JULAI 2025.

PUCHONG – Sebanyak 17 aduan pengguna diterima majoritinya melibatkan kenaikan harga tidak munasabah dan harga barang mahal susulan pelaksanaan semula cukai jualan (SST) sejak 1 Julai lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Penguat Kuasa KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, aduan tersebut sedang disiasat dan menjadi salah satu justifikasi utama pelaksanaan Ops Kesan 4.0 di seluruh negara.

“Aduan ini membuktikan keperluan kita untuk pantau dan bertindak. Kita tidak mahu ada pihak ambil kesempatan terhadap pelaksanaan SST untuk menaikkan harga sesuka hati.

“Kita akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang didapati melakukan pencatutan, iaitu mengambil keuntungan yang tidak munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi turun padang Ops Kesan 4.0 di Balaji Enterprise Sdn. Bhd., Seri Kembangan di sini hari ini.

Menurut Shamsul Nizam, sebanyak 375 premis diperiksa antara 1 hingga 8 Julai lalu melibatkan 1,698 unit simpanan stok (SKU) barangan oleh pasukan penguat kuasa di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, enam notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga yang disyaki terlibat dengan pencatutan.

“Setakat ini, enam syarikat telah dipanggil dengan dua daripadanya bersetuju menangguhkan kenaikan harga manakala dua lagi menjelaskan perubahan harga adalah selaras dengan pelaksanaan cukai jualan dan dua syarikat lain pula akan hadir memberi maklum balas minggu ini.

“Sekiranya didapati bersalah, individu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000,” tambahnya.

Pihaknya juga akan mengeluarkan notis pengesanan maklumat barangan (NPMB) kepada peniaga dan memberi tempoh empat hari untuk mengemukakan maklumat lengkap berkaitan harga, kos dan margin keuntungan, sebagai mekanisme siasatan.

“Peniaga juga perlu simpan rekod dan resit sehingga tujuh tahun bagi mengelakkan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 53A,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan peniaga yang berdepan isu pelaksanaan SST agar merujuk terus kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan tidak membuat keputusan harga secara semberono. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hanya barangan dikeluarkan, diimport bermula 1 Julai dikenakan SST

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast