Serambi Semantan di Temerloh

TEMERLOH – Bazaar Lurah Semantan atau lebih dikenali sebagai Serambi Semantan kini menjadi ‘Pasar Siti Khadijah’ versi desa apabila menghimpunkan usahawan wanita dari seluruh pelosok daerah ini yang mahu mengembangkan perniagaan kecil mereka.

Dianjurkan Kelab Usahawan Desa Daerah Temerloh, inisiatif itu menjadi titik perubahan buat ramai wanita, khususnya golongan ibu tunggal dan usahawan B40 yang sebelum ini hanya berniaga secara kecil-kecilan di rumah atau pekan sehari.

Pengerusinya, Mastura Abdul Malik berkata, platform itu diwujudkan bagi membantu golongan usahawan wanita terpinggir yang tiada akses pasaran, modal mahupun bimbingan.

“Kita ambil mereka dari kampung yang berniaga kecil-kecilan, beri tapak tetap dan bimbing dari segi pensijilan halal, pembungkusan, promosi dan penglibatan dalam acara.

“Matlamat jangka panjangnya, kita mahu Serambi Semantan jadi seperti Pasar Siti Khadijah di Kelantan,” katanya.

Pengerusi Kelab Usahawan Desa Daerah Temerloh, Mastura Abdul Malik (tengah), bersama dua usahawan, Siti Maisarah Fauzi (kanan ) dan Nusafia Latif (kiri), menunjukkan aneka produk jualan di Bazaar Lurah Semantan (Serambi Semantan)

Menurutnya, sejak pertengahan tahun lalu, lebih 250 orang usahawan wanita telah menyertai kelab itu dengan lebih 50 produk disenaraikan dalam direktori untuk dibawa ke pasaran pelancongan.

Usahawan kuih-muih tradisional, Siti Maisarah Fauzi, 42, dari Kuala Krau berkata, penyertaannya dalam kelab itu memberi perubahan besar apabila jualannya mencecah RM2,000 sehari ketika sambutan Hari Raya Aidiladha lalu.

“Dulu saya COD jauh-jauh, sekarang orang datang sendiri beli. Promosi dari pihak kelab sangat membantu perniagaan saya,” katanya.

Siti Maisarah Fauzi menunjukkan produk makanan jualannya ketika ditemui.

Sementara itu, Nusafia Latif, 39, dari Taman Temerloh Jaya yang menjual kek marble dan kerepek pedas turut menyifatkan penyertaannya dalam kelab itu sebagai rezeki besar.

“Sebelum ini saya hanya ambil tempahan secara online. Sekarang pelanggan dapat lihat, rasa sendiri dan beli terus.

“Jualan pula semakin meningkat, jadi pelanggan tetap pun bertambah,” katanya.

Nusafia Latif menunjukkan produk kerepek pedas jualannya

Serambi Semantan beroperasi pada setiap hari Sabtu dengan kadar sewa serendah RM50 sebulan.

DIfahamkan kadar sewaan turut ditawarkan secara percuma kepada ahli baharu bagi tempoh masa tertentu sebagai dorongan memulakan perniagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast